HIBURAN
“Saya Dah Lama Habis Dengan Perkahwinan Itu...” – Nina Ismail Sabri Kongsi Cara Hadapi Penceraian Dengan Tenang
Kakak kepada penyanyi Dafi, Nina Ismail Sabri mencuri perhatian apabila berkongsi pendapat peribadinya mengenai cara dirinya terus maju ke hadapan selapas melalui fasa penceraian bersama bekas suami.
Perkongsian itu dibuat selepas Nina memuat naik tangkap layar luahan seorang pengguna media sosial berkaitan hubungan toksik.
Kata Nina, segala kekecewaan dan pergolakan yang dialaminya sebelum ini dilalui secara senyap, tanpa membuka aib sesiapa termasuk bekas suaminya.
Baginya, keikhlasan serta kematangan dalam berpisah adalah kunci untuk terus melangkah ke hadapan.
“Saya selalu ditanya macam mana saya boleh move on dengan cepat selepas 10 tahun berkahwin. Jadi inilah jawapannya. Saya sebenarnya dah lama ‘habis’ dengan perkahwinan itu sebelum proses perceraian pun bermula.
“Saya lawan semua ‘perang’ saya secara senyap, saya tak pernah hilang hormat pada bekas suami saya dan dia pun tak pernah hilang hormat pada saya. Ya, prosesnya memang bukan mudah, tapi kami selesaikan kekusutan itu bersama sebelum buat keputusan untuk berpisah,” tulisnya.
Tambah Nina lagi, mereka menjaga hubungan dengan baik demi anak mereka, Jeanelle.
“Jeanelle tak pernah nampak kami bergaduh atau marah antara satu sama lain dan saya betul-betul berdoa supaya keadaan itu akan kekal sampai bila-bila,” luahnya.
Dalam satu hantaran berbeza, Nina turut menitipkan doa dan kata-kata semangat buat para wanita yang sedang melalui ujian hidup atau perkahwinan yang sukar.
“Apa-apa pun, kepada semua wanita di luar sana yang sedang melalui sesuatu, saya doakan Allah lindungi anda, beri kekuatan untuk hadapi apa saja kesusahan. Di sebalik kesusahan pasti ada kemudahan.
“Akan datang pelangi selepas hujan. Saya selalu tertanya-tanya adakah saya akan benar-benar bahagia semula satu hari nanti, dan Alhamdulillah, sekarang saya lebih bahagia dari sebelum ini,” tulisnya lagi.
Untuk rekod, Nina yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mendirikan rumah tangga bersama Jovian pada 11 Disember 2013 sebelum bercerai pada Ogos 2022.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie, kini berusia tujuh tahun.
Sumber: Thread
Must-Watch Video