Penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob mengakui hanya mewakili suara ramai ketika memohon pandangan umum mengenai cadangannya agar sesi persekolahan ditangguhkan.

Kebimbangan tersebut disuarakan Fazley susulan peningkatan mendadak angka pesakit COVID-19 semasa.

Bagaimanapun menurut Fazley beliau tidak menyangka ramai yang bersetuju dengan cadangan tersebut.

[[BACA: "Nyawa Allah Bagi Sekali Saja" - Fazley Yaakob Gesa Tangguhkan Sesi Persekolahan]]

“Memang macam-macam komen yang saya terima dilaman sosial Facebook, Twitter dan Instagram bersetuju dengan posting saya.

“Saya ada empat orang anak, tiga sudah bersekolah dan kerisauan itu saya panjatkan untuk saya, isteri dan juga keluarga saya sendiri.

“Saya ada anak kecil baru berusia 3 tahun, ibu seorang warga emas berusia 67 tahun, jadi saya rasa ini adalah suara ramai, saya hanya mewakili mereka,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah Fazley lagi cadangan tesebut lebih kepada pelajar sekolah peringkat rendah, terutama pelajar tahun satu.

Korang tak risau ke? Setuju tak apa yang saya sarankan? (Di dalam diam saya amat yakin ramai Parents bersependapat dengan saya!) HELP ME SHARE THIS GUYS! BANTU SAYA SHARE OK!

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob) on

“Saya tidak sangka apa yang disuarakan itu menjadi suara ramai ibu bapa di luar sana. Cadangan saya sebenarnya lebih kepada pelajar sekolah rendah.

“Kerana budak sekolah rendah ini kita nampak mereka masih muda untuk memahami mengenai SOP, terutama yang baru berusia tujuh dan lapan tahun. Suruh pakai pelitup muka pun tidak betul lagi.

“Sementara untuk pelajar yang sedang menduduki peperiksaan penting cadangan saya mungkin kedatangan secara berkala, bergantung kepada keadaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai tindakan membuka ruang undian di Instagram Stories dan memohon pandangan umum mengenai cadangannya, Fazley berkata dia mahu membuktikan ramai yang sependapat.

“Saya terpanggil untuk membuat posting dan poll tersebut kerana saya nak tunjuk bahawa ramai yang bersetuju dengan pandangan saya tetapi mereka tak berani suarakan, terutamanya para guru.

“Saya bertemu dengan ramai guru dan ibu bapa. Secara tak sengaja semuanya mengeluarkan pendapat sama iaitu tidak berani mengambil risiko menghantar anak ke sekolah kerana penularan wabak Covid-19.

“Ada juga ibu bapa mengeluh kepada saya, menerima surat amaran daripada pihak sekolah kerana kononnya anak dipontengkan tanpa sebab, sedangkan ibu bapa risau untuk hantar anak mereka ke sekolah,” katanya.

Dalam pada itu Fazley turut berpesan kepada semua agar sedaya upaya mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Betul, kalau nak terkena dugaan nak buat macam mana. Tapi kita cuba sehabis daya untuk elak pergi ke tempat-tempat yang kita tahu boleh membawa bencana kepada keluarga.

“Kalau bertemu dengan orang yang kita tahu baru pulang dari kawasan panas dan berisiko, janganlah bersalaman atau ada sebarang sentuhan dengan mereka,” nasihat Fazley.

Dalam perkembangan lain, Fazley kini sibuk menguruskan restoran Minang Kapau miliknya yang masih beroperasi seperti biasa.

Jemput datang ke rumah makan saya @minangkapau di Bukit Damansara. Kami buka setiap hari kecuali hari Isnin. Jangan lupa ikut SOP dengan betul sebelum masuk: ? Guna pelitup muka bila sampai ? Daftar kedatangan ? Check suhu badan guna DAHI/KEPALA dan bukan tangan ? Guna sanitizer di seluruh tangan Sekiranya ada simptom demam/flu/batuk biasa walaupun bukan gejala #covid19, elak dari keluar rumah demi keselamatan diri dan orang lain. Be safe, everyone! @minangkapau @minangkapau @minangkapau

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob) on

“Ya, restoran sasih dibuka seperti biasa tetapi saya kurangkan meja, bilangan kakitangan dan jumlah pelanggan yang masuk pada satu-satu masa.

“Saya wajibkan pelanggan yang masuk tidak bergejala, bermakna jika mereka selsema atau batuk walaupun tidak demam saya terpaksa minta maaf kerana tidak benarkan mereka masuk ke kedai.

“Ini adalah sebagai usaha bersama dan langkah pencegahan kami di Minang Kapau,” katanya.