Bahan penambah perasa makanan atau lebih dikenali sebagai monosodium glutamat (MSG), sememangnya sering digunakan dalam masakan harian.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengusahakan kedai makan, sudah pasti, MSG antara bahan lazim yang ditambah sebagai pelengkap kepada rasa makanan.

Begitupun, bagi cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mendedahkan dia tidak menggunakan sebarang bahan perasa tambahan dalam masakannya.

Bahkan, beliau yang juga pengusaha restoran De.Wan itu memberitahu, kesemua masakan yang dihidangkan kepada pelanggan tidak mengandungi kandungan MSG.

"Bila cef bertanyakan kepada saya tadi, 'Chef Wan jika kurang power kuah mi rebus ini, tak boleh ke kita guna Ajinomoto?'

"Saya jawab, saya haramkan MSG di semua restoran saya!," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.

Menurut Chef Wan lagi, dia akui kebanyakan orang zaman dulu gemar penggunaan MSG tanpa terfikir akan kesan terhadap masalah kesihatan kelak.

"Tetapi zaman saya membesar orang berniaga dulu-dulu kuat guna. Masa itu kami tidak tahu apa kesannya kepada kesihatan seseorang untuk jangka panjang.

"Jadi kami rasakan ia sesuatu tindakan yang betul..zaman dahulu punya ceritakan. Sekarang, it's a big NO!" tegasnya.

Dalam video tersebut, Chef Wan memberitahu, dia hanya mahu menggunakan air rebusan stok sebagai penambah perasa semula jadi dalam masakannya.

"Sekiranya anda memasak dengan kualiti terbaik dan bahan yang segar, kenapa anda perlukan penambah makanan?

"Masak dengan perasa semula jadi adalah yang terbaik," katanya.

A post shared by chef wan (@_chefwan58)