Penyanyi Ernie Zakri nekad untuk tidak menyanyikan lagu Misteri dalam mana-mana acara selama setahun.

Tegas Ernie, pendiriannya itu tetap meskipun ada permintaan daripada mana-mana pihak untuk menyanyikan lagu itu.

“Untuk setahun ini saya berani berjanji tidak akan menyanyikan lagu Misteri.

“Saya bersedia buka buku baru dan melangkah ke depan. Ia sebuah lagu yang saya sayang tapi rezeki tak berpihak pada saya.

“Bila cakap pasal move on saya betul-betul move on,” katanya ketika ditemui pada sidang media An Afternoon of Elegance with Syamel & Ernie Zakri di Hotel JW Marriot Putrajaya.

Namun, Ernie menafikan wujud unsur dendam dalam kemelut yang membabitkan bekas syarikat rakamannya itu.

“Situasi ini tiada unsur dendam, cuma apabila saya cakap tak nak pandang belakang seboleh-bolehnya saya tak nak,” tambahnya.

Ernie sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan terkilan apabila lagu Misteri ciptaan Gouffran & Sang Hitam gagal mara ke pusingan separuh akhir Muzik-Muzik tahun lalu.

Pada masa sama, wujud dakwaan yang mengatakan kontroversi yang berlaku turut melibatkan syarikat rakaman sebelum ini.