Penyanyi dan bintang Gegar Vaganza (GV) 7 sebak ketika mengenang kembali kisah lalunya selepas bergelar juara program realiti, One In A Million, 12tahun lalu.

Ayu ketika ditemui Gempak mengakui pernah tersilap langkah sehingga meninggalkan kesan terhadap karier nyanyiannya.

“Saya mengaku pernah mengalami kejutan budaya selepas muncul juara dalam program realiti tersebut. Ketika itu saya terlalu mengikut darah muda.

“Tambah-tambah lagi kita ni ‘zero’ dan tidak tahu apa-apa tentang industri. Tidak ada yang membimbing dengan betul.

“Dan…ya itulah yang berlaku. Namun saya bersyukur kerana jika saya tidak diuji ketika itu mungkin sehingga kini saya masih tidak belajar,” katanya.

Tambah Ayu lagi dalam tempoh lapan tahun selepas mengalami ‘zaman kejatuhan’, dia kembali bangkit dan walaupun ia bukan sesuatu yang mudah.

“Sepanjang fasa itu, saya lalui saat sukar dan tidak mudah untuk melaluinya. Namun saya percaya apa yang terjadi adalah proses pembelajaran dan pengalaman yang cukup bermakna sebenarnya.

“Saya berterima kasih kepada suami kerana dialah insan yang selalu menyokong dan memberi semangat untuk saya bangkit dari kisah silam.

“Demi anak-anak, suami minta saya kuat dan pandang ke hadapan serta jangan toleh ke belakang lagi, sejak itu lahirlah ‘Ayu Damit’ yang baru iaitu saya sekarang ini,” katanya sebak.

Terdahulu, Ayu ditemui pada sidang media memperkenalkan 14 peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh di Envi Skydining, Menara Ta One, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam GV musim ini Ayu mengambil peluang yang ada untuk membuktikan kebolehan, seterusnya cuba memberikan yang terbaik buat yang tidak putus memberikan sokongan.

“Ini satu pentas yang besar. Malah suami turut cakap, penyertaan dalam GV7 ini mungkin satu platform terbaik untuk buktikan yang saya masih lagi aktif menyanyi.

“Dah lama tak keluar televisyen, jadi inilah peluang terbaik kembali perkenalkan diri ini kepada peminat yang sentiasa menyokong. Insya-Allah,” katanya.

Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.

Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Manakala siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.

Konsert mingguan ‘GV7’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.

Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.