Laman Utama

“Saya Minta Maaf, Saya Bukan Ustaz Adam” - Syamsul Yusof, Puteri Sarah Sudah Tidak Tinggal Sebumbung

gempak
Azwa Rahman
22/11/2020
13:39 MYT
Sponsor Banner
“Saya Minta Maaf, Saya Bukan Ustaz Adam” - Syamsul Yusof, Puteri Sarah Sudah Tidak Tinggal Sebumbung
Kisah rumah tangga pelakon dan pengarah terkenal Syamsul Yusof dan isterinya, pelakon Puteri Sarah Liyana antara yang mencuri tumpuan sekitar hujung tahun ini.
Mengakui bahtera perkahwinan yang dibina sejak enam tahun lalu berdepan masalah, Syamsul, 36, akhirnya mengaku sudah tidak tinggal sebumbung bersama isterinya.
“Isteri saya dah merajuk jadi saya tinggal sendiri. Fans dan followers kami semua dah tahu, kini saya sibukkan diri dengan kerja," kata Syamsul kepada Berita Harian.
Syamsul saat dihubungi Gempak kemudian mengatakan dia sebolehnya ingin menyelamatkan rumah tangga yang dibina. Jauh sekali kata Syamsul untuk melafazkan cerai kepada Sarah yang telah melahirkan anak anaknya.
"Terus terang, saya tak mahu bercerai. Saya nak selamatkan rumah tangga dan saya percaya isteri saya pun begitu juga. Tapi ia tidaklah semudah itu. Ada banyak lagi faktor-faktor lain yang saya perlu fikirkan yang melibatkan hati dan perasaan," katanya.
Syamsul juga mengatakan walaupun memikul predikat pelaku seni, dia juga adalah manusia biasa yang mempunyai ujian hidup sendiri. Melalui fasa masalah dalam rumah tangga adalah ujian buatnya.
Meski demikian, anak penerbit, pengarah dan aktor tersohor Datuk Yusof Haslam ini tidak pernah mahu menuding jari dan menyalahkan sebelah pihak.
Dia percaya, apa yang berlaku, kekhilafan juga datang daripada pihaknya juga, bukan dari wanita yang dinikahinya pada 8 Mac 2014 silam.
“Saya terima ujian saya. Isteri adalah ujian saya. Tapi apa-apa pun, saya taknak tuding jari pada isteri saya, saya anggap saya muhasabah diri, lihat balik diri saya, Sarah seorang isteri yang baik.
“Mungkin saya terlalu fokus dengan kerja. Banyak hal-hal dalam kain yang saya tak boleh nak cerita. Cukup saya kata, doakan yang terbaik,” ujar Syamsul lagi.
Biar sudah tidak tinggal sebumbung, Syamsul mengaku dia masih mempunyai kesempatan untuk bertemu anak anaknya iaitu Syaikhul Islam, 3, dan Summayah, setahun, yang dibawa Sarah untuk tinggal bersama ibu bapanya.
"Tengoklah tiga empat hari sekali mak saya bawa anak jumpa saya," katanya lagi.
Mengakui dirinya tidak sempurna, Syamsul meminta maaf apabila dia tidak boleh menjadi versi Syamsul Yusof yang peminat mahukan sama ada watak ustaz Adam ataupun Shark.
Malah, dia menghargai peminat yang memberikan nasihat dan peringatan. Mungkin ada kalanya dia tidak bersetuju dengan sesetengah pihak yang memberikan komen melanggar batas namun dia mendengar segala nasihat yang baik.
"Jadi saya fikir apa yang mahu saya cakap, semua saya sudah share. Jadi ini sajalah dari saya," katanya lagi mengenai kemelut rumah tangga yang sedang dilaluinya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live