Pemain Bass kumpulan Butterfingers, Kadak, memohon maaf kerana tidak dapat dapat kembali ke pentas untuk meneruskan persembahannya kerana mengalami sesak nafas.

Kadak menerusi sepotong video yang dimuat naik di laman sosial Instagram (IG)nya memohon maaf kepada semua peminat yang menghadiri Konsert Ulangtahun ke-20 Butterfingers - Transcendence di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

“Saya ingin memohon maaf menyusun sepuluh jari kepada semua kerana tidak dapat kembali ke stage disebabkan beberapa faktor yang tak dapat dielakkan.

“Sepatutnya selepas lagu Tanah Pusaka saya kembali, tapi saya mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menjalani pemeriksaan di belakang pentas.

“Selepas beberapa prosedur dilakukan, atas nasihat doktor saya dikejarkan ke hospital. Memang tak boleh nak buat apa dah sebab saya memang kena menjalani pemeriksaan lebih rapi,” jelasnya.

Bagaimanapun Kadak memberitahu keadaannya kini lebih baik dan sudah keluar dari hospital.
“Alhamdulillah, semua okay dan saya pun sudah keluar dari hospital,” katanya.

Gempak difahamkan Kadak dibawa ke Hospital Shah Alam sejurus selepas kejadian.

Terima kasih, u guys rock!!!! hari ini macam 'Hari Ini Dalam Sejarah'.

A post shared by kadaxus (@kadaxus) on

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata peminat mendoakan kesihatan Kadak dan meminta supaya pemain gitar bass itu supaya banyak berehat.

Terdahulu, Butterfingers menghentikan persembahan mereka dan penonton menyangka mereka berhenti untuk berehat.

Pemain gitar utama Butterfingers, Loque kemudianya tampil ke pentas memaklumkan mengenai keadaan Kadak kepada lebih 8,000 penonton di dalam stadium.

Bagaimanapun Butterfingers yang turut dianggotai Emmett (penyanyi) dan Loko (dram) tetap meneruskan konsert berkenaan dengan baik tanpa Kadak.

Butterfingers sempat mempersembahkan 24 buah lagu sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung.

Foto: Shafiq Shahr & Intagram @kadaxus