Pelakon dan pelawak Zizan Razak mendedahkan buat pertama kalinya dia melakukan aksi ‘drift’ ketika memandu di dalam filem Bulan & Pria Terhebat (BPT).

Menurut Zizan hampir kesemua aksi memandu di dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar itu dilakukannya sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

“Ini pertama kali saya diberi peluang untuk memandu secara ‘drift’ di dalam filem. Itu pun setelah saya meyakinkan pengarah yang saya boleh lakukannya sendiri.

“Puas juga bila dapat lakukannya sendiri, cuma ada sebahagian babak sahaja ‘stunt man’ buat ketika penggambaran di Johor.

“Pada mulanya Ghaz tidak yakin tetapi bila dia lihat saya buat sekali itu terus dia kagum dan teruja,” katanya kepada Gempak.

Filem bergenre aksi komedi yang sudah mula ditayangkan di Astro First bermula 11 Mac, semalam turut dibarisi bintang hebat lain seperti Zahirah Macwilson, Maya Karin, Khir Rahman, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.

Mengulas mengenai minatnya dalam dunia perlumbaan, Zizan memberitahu dia sudah menceburinya sejak 13 tahun lalu bermula dengan lumba haram.

“Sebenarnya dah lama saya dengan dunia perlumbaan ni. Saya mula dengan lumba haram dan sehingga lah saya berjumpa dengan seseorang yang boleh mengajar saya secara professional.

“Pencapaian besar saya apabila dapat menjuarai Sepang 1000 Kilometer (SIK) pada tahun 2017.

“Jadi pengalaman telah mengajar saya jadi pemandu yang bagus,” katanya lagi.

Bulan & Pria Terhebat yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu secara ringkas mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.

Saksikan filem Bulan & Pria Terhebat yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 11 Mac ini.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.