Laman Utama

“Saya Muntah Setiap Setengah Jam”- Hamil Anak Ke-2, Suami Kaka Azraff Mengidam Durian

gempak
Syafiqah Jalal
03/08/2021
07:21 MYT
Sponsor Banner
“Saya Muntah Setiap Setengah Jam”- Hamil Anak Ke-2, Suami Kaka Azraff Mengidam Durian
Penyanyi, Kaka Azraff mengesahkan dia kini sedang hamil cahaya mata kedua dan sedang mengalami alahan yang teruk.
Namun berbanding kehamilan pertama, Kaka, 32, memberitahu dia berjaya mengawal diri dan emosinya dalam fasa trimester pertama.
“Berbanding kehamilan pertama, alahan kali ini dikawal dengan lebih baik kerana saya rasa ia lebih kepada ‘mindset’. Cuma kali ini, saya kurang mengambil daging tetapi lebih suka makan ikan dan buah-buahan.
“Saya kini berada dalam fasa sering muntah, boleh dikatakan hampir setiap setengah jam pasti termuntah. Saya hanya boleh berfikiran positif saja kerana keadaan agak tidak menentu ketika ini.
“Mungkin juga dahulu saya tiada pengalaman, jadi susah hendak mengawalnya. Kebanyakkan masa terbaring saja,” katanya.
Kaka berkongsi berita gembira itu menerusi satu temu bual bersama HLive.
Meskipun teruja menanti kehadiran anak keduanya, namun Kaka memilih untuk berkongsi kegembiraan itu secara sederhana kepada umum.
“Berbeza dengan kehamilan pertama, saya mahu berkongsi kepada semua namun dalam bentuk sederhana. Lagipun negara sedang berdepan pandemik, saya tidak mahu melanggar sensitiviti mana-mana pihak.
“Yang menariknya, saya tidak tahu saya hamil, pelik kerana suami asyik mengidam dan kerap membeli durian,” kongsi Kaka.
Menyerahkan semuanya kepada rezeki, Kaka tidak memilih jantina kandungan sebaliknya berharap terus diberikan kesihatan yang baik buat diri dan juga bayinya itu.
“Masih terlalu awal untuk berbicara soal jantina. Apa yang penting saya dan juga kandungan baik-baik saja. Sudah ada seorang anak lelaki, jika dapat perempuan pun melengkapi keluarga kecil kami,” ujar Kaka.
Kaka mendirikan rumah tangga bersama Adam pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Aslan, setahun.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live