Penyanyi dan pelakon, Khai Bahar akui sukar membawa babak yang memerlukannya untuk memarahi atau bergaduh dengn seseorang.

Menurut Khai, dia berasa bimbang sekiranya babak tersebut kurang memuaskan atau tidak menjadi.

“Ada satu babak yang memerlukan saya untuk marah dan bergaduh dengan Shukri Yahaya. Secara jujurnya saya ini susah nak marah orang, tak pandai.

“Jadi untuk babak marah atau bergaduh ini memang kelemahan saya. Nampak pula bila baca skrip kena lakonkan babak itu dengan Shukri, memang saya gementar sampai tak boleh tidur.

“Sebab saya kerap terfikir, risau takut salah. Dalam drama ini saya berlakon sebagai adik ipar Shukri, jadi dialog itu kena tegas. Tengok pula muka Shukri, memang bertambah gementarlah,” jelasnya.

Khai berkata demikian kepada media dalam sidang media drama Shakira yang diadakan secara virtual pada Khamis.

Bagaimanapun kata Khai, Shukri banyak membantu dirinya untuk memperbaiki mutu lakonan.

“Shukri sangat banyak membantu, dia juga juga banyak kongsi ilmu dan suruh saya lebih relaks. Dia juga tidak pernah ‘bunuh’ lakonan saya.

“Selagi boleh, dia memang mahu menjaga babak yang membabitkan orang lain dengan baik supaya hasilnya bagus,” katanya.

Selain Khai dan Shukri, drama ini turut dibintangi Janna Nick, Syerinie Myra, Nada Nursyuhada, Wan Raja, Ramona Zamzam, Marisa Yasmin dan Edika Yusof.

Drama Shakira ini turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQIYI setiap Isnin hingga Jumaat.