HIBURAN
“Saya Pernah Pandang Cermin Dan Maki Diri Sendiri ‘Kau Ni Tak Elok Lah’ ” - Meerqeen
Pelakon, Meerqeen berkongsi pengalaman pernah menghadapi perasaan ‘anxiety’ atau gangguan keresahan dan depresi sewaktu mendalami watak bagi sebuah drama yang pernah dilakonkan dahulu.
Kongsi Meerqeen, bagi mendapatkan perasaan sepenuhnya atau ‘feel’ bagi watak tersebut, dia memilih untuk tinggal berseorangan selama dua bulan sebagai tanda memberikan komitmen yang sepenuhnya.
“Saya pernah hadapi situasi anxiety ketika menjalani sebuah penggambaran drama dahulu. Saya tidak boleh nak sahkan saya betul-betul depresi sebab saya tak pergi ke doktor untuk buat pemeriksaa lanjut, tapi saya memang rasakan perasaan itu.
“Bila saya berseorangan atau bersama khalayak ramai saya rasakan perasaan kebimbangan itu.
“Saya sangat mendalami watak, saya duduk sorang-sorang selama dua bulan, tak buka lampu di rumah sebab saya nak rasa sendiri apa yang watak itu. Saya memang seakan ‘memanggil’ perasaan itu,” ujarnya ketika ditemui Gempak.
Meerqeen berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis doa selamat bagi drama Thariq Ridzuwan: His Treasure di Petaling Jaya pada Isnin.
Dalam pada itu, Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 24, juga mendedahkan sifat peribadinya juga pernah bertukar menjadi agresif gara-gara terbawa dengan karakter tersebut.
Saya ambil masa sebulan untuk buang karakter itu, saya tukar penampilan tukar warna rambut, botak.
“Habis drama itu saya memang terus tukar penampilan saya, sebab saya pernah maki diri sendiri di cermin, “kau ni tak elok lah”.
“Saya tak pernah maki adik-adik tapi apabila saya balik rumah keluarga saya tengok saya maki adik sebab saya terbawa-bawa karakter itu,” ujarnya lagi.
Menerusi perkembangan lain, Meerqeen bakal muncul dengan drama terbaharu iaitu Thariq Ridzuwan: His Treasure yang akan ditayangkan di Astro Ria bagi slot Dramavaganza bermula 23 Julai depan.
Selain Meerqeen, Thariq Ridzuwan: His Treasure turut dibintangi barisan pelakon terkenal termasuk Qasrina Karim, Avertts Gomez, Noki K-Clique, Mia Sara Shauki dan ramai lagi.
Must-Watch Video