Bekas anggota kumpulan nasyid Raihan, Nazrey Johani terharu apabila masih ramai yang mengingatinya dan menyokong apa juga usahanya.

Tampil dengan single baharu berjudul Laila Majnun bersama kumpulan nasyid One Path, Nazrey berharap ia sedikit sebanyak dapat mengubat rindu peminatnya.

"Macam-macam perasaan saya rasa bila baca respon netizen. Gembira, terharu, syukur, semuanya bercampur.

"Saya sangka ramai yang sudah melupakan orang lama seperti saya yang dah jarang muncul depan media ni. Rupanya masih ada, terutama sekali dari peminat-peminat kumpulan lama saya, Raihan.

"Mudah-mudahan dengan adanya Laila Majnun dapat mengubati rindu kalian terhadap Raihan yang dulu," katanya.

Lagu Laila Majnun yang dilancarkan pada 1 Oktober lalu membawakan penceritaan kisah cinta yang masyhur di antara Laila dan Majnun. Biarpun kisah tersebut berakhir dengan tragedi, perjalanan cinta pasangan ini dipersembahkan di dalam perspektif yang berbeza.

Istimewanya kali ini One Path tampil berlima bersama Nazrey Johani. Ia merupakan percubaan pertama gandingan generasi perintis dan baharu nasyid yang ternyata memberikan impak apabila berjaya menduduki tangga trending di YouTube Trending for Music dan Trending Now sepanjang tempoh minggu pertama lagu itu dilancarkan.

Kenapa pilih Nazrey Johani?

Menurut penerbit yang juga pengasas Tarbiah Sentap Records, Ustaz Adnin Roslan, pemilihan Nazrey Johani sebagai rakan duet One Path dibuat bukan atas faktor populariti semata.

"Populariti, jumlah followers social media bukan faktor utama yang kami nilai dalam proses pemilihan artis duet bersama One Path. Ada pelbagai penanda aras lain yang tim Tarbiah Sentap perhalusi terlebih dahulu sebelum memutuskan senarai akhir artis yang sesuai,

"Keperibadian artis itu juga antara perkara yang kita perhalusi. Kita mahu artis yang kita bawa untuk berganding bersama dengan artis Tarbiah Sentap adalah mereka yang boleh memberikan pengaruh positif kepada masyarakat secara istiqamah," ujarnya.

Jelas Adnin lagi, ciri unik pada vokal Nazrey Johani yang telah lama sebati di dalam masyarakat, menjadikan lagu Laila Majnun sebuah naskhah yang amat istimewa.

"Untuk single Laila Majnun, keunikan karakter suara Ustaz Nazrey yang ikonik itu sendiri menjadi satu daya penarik yang kuat.

"Paling penting bagi kami adalah keberkatan dan keredhaan Allah swt dalam setiap keputusan yang kami pilih. Mudah-mudahan ada ganjarannya di sisi Allah," tambahnya.

Tambahnya lagi, lagu ciptaan Akmal Mustafa itu diinspirasikan dari sebuah video ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zul Ramli sekitar tahun 2019.



Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!