BERITA
“Saya Serah Nasib Di Tangan Allah SWT, Sistem Kehakiman Negara” - Syed Saddiq
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan keyakinan keputusan prosiding kes rayuan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada kekuasaan ALLAH SWT, sistem kehakiman dan perundangan negara.
Beliau berkata, urusan prosiding berkenaan diharap berjalan dengan lancar memandangkan ia sudah mengambil masa lebih kurang lima tahun.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan juga kepada orang ramai tidak putus memberikan doa dan solidariti.
“Saya terhutang budi pada semua. Insya-ALLAH pada hari ini semua akan berjalan dengan baik.
“Saya meletakkan nasib saya di tangan ALLAH SWT, sistem kehakiman dan perundangan negara yang saya hormati,” katanya dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Khamis.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengucapkan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin.
Syed Saddiq turut mengenang sumbangan dan jasa bakti Allahyarham Tun Abdullah dalam pembangunan negara termasuk reformasi yang beliau berjaya bawa pada sistem perundangan di negara ini.
"Sebagai ahli politik, saya rasa berharap kita semua dapat memiliki kesedaran moral dan nilai integriti seperti Allahyarham Tun Abdullah," ujarnya.
Pada Khamis pagi, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu tiba kira-kira pukul 8.20 pagi dan dilihat bersemangat sambil ditemani keluarganya.
Turut hadir, selebriti yang juga rakan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Bella Astillah yang lengkap berpakaian baju kurung bagi memberikan sokongan kepada beliau.
Sumber - Sinar Harian
Must-Watch Video