"Saya tahu tindakan saman tidak dapat hidupkan kembali anak saya yang telah hilang tetapi dengan tindakan bersama, kita dapat selamatkan orang lain daripada mengalami tragedi sama yang telah kita lalui," kata ibu kepada Nathan Renze, 14, yang dilaporkan hilang ketika menjalani aktiviti selaman pada April 2022.

Kesan trauma


Andrea Van Der Zee, 47, berkata, kehilangan anak lelakinya susulan insiden yang berlaku di perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing itu meninggalkan kesan trauma mendalam kepada keluarga mereka terutamanya suaminya, Adrian Peter Chesters, 48 yang juga terlibat dalam kejadian tersebut.

Ujar Andrea, keluarganya bertindak menyaman pihak pusat peranginan yang diinapi oleh Adrian Peter dan Nathan ketika insiden berkenaan bagi mengelakkan tragedi sama berulang kepada orang lain.

"Anak lelaki (Nathan) dan perempuan saya adalah jiwa dalam keluarga kami. Separuh daripada itu hilang dan kita perlu hidup dengan realiti itu setiap hari.

"Dia penting dan saya mahu berjuang untuknya. Saya berharap dengan berbuat demikian perkara ini tidak akan berlaku kepada orang lain dan tiada siapa perlu melalui perkara sama seperti yang kami sekeluarga alami.

"Saya meminta kerajaan Malaysia dan Sultan Johor untuk membantu mendapatkan keadilan untuk anak saya, untuk memastikan setiap rumah peranginan menitikberatkan soal kebajikan dan keselamatan tetamu mereka," katanya ketika dalam sidang media di sebuah hotel pada Rabu.

Turut hadir anak perempuan Andrea, Haley Famke, 17, bapa dan ibu saudara Nathan iaitu, Riekele Borger, 41, serta Yvon van der Zee, 44.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili keluarga Andrea, Azlina Abdul Aziz berkata, pihaknya telah menghantar writ dan surat tuntutan saman pada 30 April lalu membabitkan tiga parti dalam insiden berkenaan.

Menurut Azlina, antaranya ialah pusat peranginan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan aktiviti selaman itu, syarikat mengendalikan pusat peranginan tersebut dan tekong bot yang bertugas membawa penyelam warga asing terbabit.

Sumber: SINAR HARIAN