Pelakon Zizan Razak mendedahkan pendiriannya yang tidak akan menonton lakonannya sebelum tayangan malam gala filem tersebut.

Justeru, Zizan akui tidak sabar menonton lakonannya dalam filem Bulan & Pria Terhebat (BPT) yang akan mula ditayangkan di seluruh pawagam pada 12 Mac ini.

“Sebenarnya saya tak sabar hendak menonton penuh filem ini. Meskipun saya yang berlakon dalam BPT tapi saya sendiri belum menontonnya.

“Ini kerana saya ada pendirian yang tidak gemar menonton lakonan saya sebelum tiba tayangan malam gala filem tersebut.

“Saya suka akan keterujaan menonton filem yang sudah siap sepenuhnya lebih-lebih lagi menonontonnya bersama penonton lain,” katanya kepada Gempak.

Filem bergenre aksi komedi itu turut menampilkan pelakon lain seperti Zahirah Macwilson, Khir Rahman, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.

Tambah Zizan lagi, dia percaya filem ini bakal mendapat sambutan yang menggalakkan lebih-lebih lagi ia diarahkan oleh pengarah terkenal Ghaz Abu Bakar.

“Lagipun saya tahu kualiti kerja Ghaz macam mana, dia tahu cara untuk menjaga graf dan jalan cerita filem ini. Jadi saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya,” katanya lagi.



Bulan & Pria Terhebat yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu ditayangkan pada 12 Mac depan.

Secara ringkas fielm arahan Ghaz Abu Bakar itu mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.