Pelakon Will Smith yang mencetuskan kontroversi dengan melempang pelawak Chris Rock baru-baru ini menerima ‘hukuman’ pihak Academy yang menyenarai hitamkan dirinya daripada menghadiri mana-mana majlis anjuran Academy Awards.

“Saya terima dan hormati keputusan Academy,” katanya dalam satu kenyataan kepada portal PageSix.

Kenyataan Will itu dibuat selepas beberapa minit pihak Academy of Motion Picture Arts and Sciences mengumumkan yang pelakon itu bakal digam daripada semua acara organisasi tersebut untuk 10 tahun.

“Lembaga Gabenor telah memutuskan, untuk tempoh 10 tahun, mulai 8 April 2022, En. Smith tidak dibenarkan menghadiri sebarang acara atau program Academy secara langsung atau maya, termasuk tetapi tidak terhad kepada Anugerah Akademi,” kata Akademi pada hari Jumaat.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih yang mendalam kepada Encik Chris Rock kerana mengekalkan ketenangannya dalam keadaan luar biasa.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada hos, calon, penyampai dan pemenang atas ketenangan dan keanggunan mereka semasa siaran kami,” ujar kenyataan tersebut.

Will, 53, akan terus mengekalkan kemenangannya pada tahun ini yang diraih menerusi filem King Richard.

Minggu lalu, Will Smith mengumumkan yang dia telah meletakkan jawatan daripada Akademi, yang membawa maksud Will tidak boleh mengundi tetapi masih boleh dicalonkan dan menghadiri acara anugerah.