Menerusi kemas kini terbaru di laman sosial Instagram, penyanyi Aina Abdul memuat naik video dirinya menyanyikan single Semalam dengan menggunakan pelitup muka.

Video terbabit menerima pujian peminat kerana kebolehan vokal Aina yang tetap kedengaran mantap dan menyerlah seperti biasa.

Malah, ada juga peminat yang hairan bagaimana Aina boleh menyampaikan lagu terbabit dengan baik sedangkan ramai orang di luar sana yang berasa rimas dan sukar untuk bernafas tatkala menyarungkan 'face mask'.

Semalam @ainaabdul ?❤️ . Undi Semalam di carta @muzikmuzik_official, link in bio ☝️? . Terima Kasih...❤️ . #masksingingchallenge #struggleisreal

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul) on


Gempak menghubungi Aina untuk mendapatkan sendiri reaksi penyanyi tersebut.

"Alhamdulillah, saya sendiri rasa terharu dan bersyukur bila dapat pujian peminat.

"Sebenarnya, saya menyanyi macam biasa. Saya mengambil nafas seperti biasa kat ruang udara yang terdapat di bawah 'face mask'.

"Pada saya, sama sahaja cara menyanyi, pakai atau tak pakai 'face mask', dua-dua pun kena ambil nafas secukupnya sebelum melontarkan vokal," kata Aina.

Tatkala ditanya punca mengapa dia menyanyi menggunakan pelitup muka, pelantun lagu Sumpah itu mendedahkan insiden kurang manis yang mengganggu dirinya semenjak beberapa minggu lalu.

"Sebenarnya, sejak kebelakangan ini, saya kurang yakin nak menonjolkan wajah saya. Semenjak beberapa minggu lalu, saya sering terbaca komen kurang manis di laman YouTube.

"Banyak komen yang mempertikaikan penampilan saya dan membandingkan saya dengan penyanyi lain. Sejujurnya, perkara terbabit buat saya rasa kurang keyakinan diri, hinggakan saya rasa diri saya seperti seorang yang buruk.

"Tapi, saya tabahkan hati dan tetap mahu menyanyi kerana sudah menjadi kerja saya untuk mempromosikan lagu sendiri di laman Instagram. Saya terima kecaman hingga malas nak tunjuk muka. Jadi, saya enggan tunjukkan wajah dan tetap menyanyi, tetapi saya memakai pelitup muka.

"Tak sangka pula ada peminat memuji perkara terbabit. Sejujurnya, peminat menjadi kekuatan saya untuk melupakan segalanya mengenai haters. Saya akan tetap terus berjuang demi peminat yang tak henti menyokong semenjak hari pertama," katanya lagi.