Penyanyi Adira Suhaimi melahirkan rasa kesal dan terkilan apabila mendedahkan seumur hidupnya tidak pernah menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama arwah bapanya, Suhaimi Rajiman.

Adira berkata dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap bapanya, cuma tidak berkesempatan meraikan bersama kerana ibu dan bapanya berpisah sejak dia masih dalam kandungan.

“Memang banyak perkara saya tidak sempat lakukan bersama ayah ketika dia masih hidup. Saya terkilan kerana seumur hiduap saya tidak pernah menyambut hari raya bersama.

“Sejujurnya, saya berasa amat sedih dan sesal apabila dia sudah tiada, jadi carilah masa untuk dihabiskan bersama selagi ibu bapa kamu masih hidup,” katanya kepada Gempak.

Adira ditemui ketika majlis pelancaran tudung Adira X Hermanas di The Curve, Damansara semalam.

Bukan itu sahaja, apa yang membuatnya terkilan bapanya tidak sempat berjumpa dengan anak-anaknya, Anggrek, 2, dan Asan, 1.

“Ayah pernah sebut nak berjumpa dengan cucu-cucunya, tetapi kejadian yang tiba-tiba menimpa arwah memang buat saya sangat terkejut.

“Semoga ayah tenang di sana, maaf saya sangat beremosi apabila sebut mengenai perkara ini,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut mengenai insiden pemergian allahyarham bapanya.

Suhaimi, 57,meninggal dunia menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 21 Mac lalu.

Arwah selamat dikebumikan di Kampung Kinandusan, Kundasang, Sabah.