Pelakon meningkat naik, Mierul Aiman meluahkan rasa syukur apabila dia akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal.

Mierul berkata pelbagai suka dan duka telah dilaluinya sepanjang tempoh lima tahun bergelar seorang mahasiswa di Universiti Selangor (Unisel).

"Setelah lima tahun saya sambung pengajian bermula dari asasi sehingga tamat ijazah, akhirnya saya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

"Alhamdulillah perjalanan yang sangat panjang, sangat 'liar' termasuk ujian, cabaran, senyuman, kebahagian semuanya tercapai sepanjang proses menjadi seorang pelajar di Unisel (Universiti Selangor).

"Malah saya sebak mengingat memori-memori lama ketika saya survive dulu. Saya juga gembira apabila akhirnya dapat memberikan hadiah terbesar kepada ibu bapa saya.

"Saya dapat membalas kebahagian yang mereka inginkan. Sudah pasti ibu bapa mahukan anak-anak mereka berjaya. Dapat ukir senyuman dan janji yang pernah saya cakap pada ibu bapa saya untuk tunaikan," katanya kepada gempak.

Dalam pada itu, Mierul turut memberitahu dia terpaksa menunda pengajiannnya selama satu semester kerana mahu memberi fokus kepada pertandingan Hero Remaja yang disertainya pada tahun 2022.

"Menjadi seorang artis adalah salah satu impian saya dan menjadi seorang jurutera adalah juga salah satu misi karier saya. Itu adalah profesion yang sesuai dengan jiwa saya.

"Saya berjanji dengan mak abah saya untuk menghabiskan pengajian saya walau apa pun terjadi. Itu adalah perjalanan yang sangat panjang.

"Teringat balik sewaktu saya masuk Hero Remaja, berbekal lagi satu semester dan hanya tabur janji dengan bercakap mulut sahaja yang saya akan menghabiskan pengajian selepas keluar Hero Remaja.

"Saya terpaksa extend satu semester sebab mahu beri fokus pada pertandingan. Mak ayah saya meletakkan kepercayaan pada saya seratus peratus," ujarnya lagi.

Terdahulu, Mierul berkongsi beberapa foto di Instagram miliknya sewaktu dia hadir di majlis Konvokesyen Universiti Selangor kali ke-17.

BACA SINI: Qasrina Karim Dapat Mesej Ancaman Di IG, Mierul Aiman; "Masa Tu Kami Tengah Makan, Dia Tunjuk..."