Pelakon Elisya Sandha akui terpaksa menolak pelbagai tawaran dan urusan kerja bagi memberi tumpuan kepada perkahwinan kakaknya, Fasha Sandha pada penghujung Mac ini.

Elisya berkata sebagai adik, dia sanggup berkorban untuk melihat kakaknya bahagia.

“Sebenarnya saya banyak kerja sekarang tapi saya terpaksa tolak banyak benda serta tawaran kerja demi hendak membantu menguruskan perkahwinan Fasha.

“Saya perlu bantu uruskan perkahwinannya kerana saya boleh kata ia agak last minute juga jadi banyak perkara perlu diuruskan,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai perasaannya, Elisya berkata dia gembira kerana akhirnya Fasha berjumpa dengan orang yang sesuai dengannya.

“Saya sangat gembira untuk Fasha kerana akhirnya dia berjumpa dengan lelaki yang sesuai dan baik untuknya. Saya akui Aidil sangat baik.

“Fasha sebenarnya banyak memberi inspirasi kepada saya dalam kehidupan kerana dia berjaya mencapai kebahagiaannya disamping berjaya dalam kerjayanya,” katanya lagi.

Elisya kini sedang muncul dalam drama Encik Imam Express di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.