Berita

“Saya Terpaksa Tolak Duit Pemberian Orang” - 2 Tahun Tinggal Rumah Atas Air, Pemilik Dedahkan…

gempak
Syafiqah Jalal
25/06/2020
09:44 MYT
Sponsor Banner
“Saya Terpaksa Tolak Duit Pemberian Orang” - 2 Tahun Tinggal Rumah Atas Air, Pemilik Dedahkan…
Pemilik rumah atas air yang tular sejak bulan lalu, Ahmad Mokhtar Taib, 30, tampil mendedahkan kehidupan sebenar dia sekeluarga di Kg. Gong Tepah, Marang Terengganu.
Mokhtar yang dihubungi Astro Gempak memberitahu kehidupannya bersama isteri, Mariyah Ghazali, 30, dan anak Ahmad Mujahiddin, 2, tidak susah seperti yang disangka sebaliknya akui mereka hidup dalam keadaan cukup sempurna dan sederhana.
BACA: “Tak Kaya Tak Apa, Janji Bersih & Kemas”- Tinggal Rumah Atas Air, Netizen Puji Cara Wanita Ini Bersyukur
“Selepas keluarga saya viral pada bulan lalu, saya akui saya dan isteri tidak putus terima banyak mesej peribadi (DM) di Facebook yang mahu memberi bantuan kepada kami.
“Saya minta maaf kerana terpaksa menolak pemberian semua yang mahu menderma atau memberi duit kepada keluarga kami.
“Saya ingin menjelaskan saya bukanlah orang susah seperti yang disangka. Selama ni pun isteri saya muat naik semua gambar rumah kami itu bukan mahu meraih simpati apa-apa, saya sendiri ada perniagaan mengusahakan kolam ikan di sini.
“Meskipun saya tolak tapi ada juga yang memaksa hendak juga memberi sumbangan dan memberitahu ia sebagai tanda mereka suka akan cara kami menghias rumah. Saya pula tidak mampu menolak jika mereka beberapa kali memaksa untuk memberikan duit,” katanya.
Mokhtar dihubungi Astro Gempak selepas rumahnya menjadi tular di laman Facebook.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2013 dan mempunyai seorang cahaya mata yang lahir pada tahun 2018.
Bercerita mengenai rumah tersebut, Mokhtar memberitahu ia sudah dibina sejak 12 tahun lalu selepas bapanya mengusahakan penternakkan ikan siakap.
“Sebenarnya perniagaan menternak ikan siakap ini telah diusahakan bapa saya sejak 12 tahun lalu dan saya baru sahaja mengambil alih pada tahun 2018.
“Sebelum ini kami tinggal di Alor Setar dan hanya berniaga di pasar malam sahaja. Saya mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah atas air ini sejak dua tahun lalu selepas bapa saya meminta saya untuk meneruskan penternakan ini.
“Pada mulanya saya mahu cari sahaja rumah sewa yang berdekatan tetapi isteri menolak dan akui lebih suka tinggal di rumah ini kerana lebih dekat dengan saya ketika bekerja.
“Sebagai suami, sudah semestinya saya mahu yang terbaik dan membahagiakan isteri dan keluarga. Jadi saya turutkan sahaja. Sejak dari itu, isteri mula menghias rumah ini dengan kemas dan bersih.
“Alhamdulilah, rumah saya ada mesin basuh baju, peti sejuk dan keperluan asas lain. Malah rumah ini juga ada bilik air, cuma bilik kami hanya pasang tirai kerana rumah ini kecilnya hanya seperti sebuah bilik,” katanya lagi.
Rumah pasangan ini mendapat perhatian netizen kerana dekorasinya yang kemas dan bersih meskipun tinggal dirumah berdindingkan kayu serta beratapkan zink.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live