Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, 38, menegaskan kepada orang ramai bahawa dirinya tidak memiliki akaun laman sosial TikTok.

Menerusi muat naik terkini di Instagram, pemilik nama lengkap Mohd Syamsul Mohd Yusof berkata jika wujud akaun TikTok di atas namanya, itu adalah palsu.

“Saya tiada akaun TikTok atau Facebook. Jika ada itu semuanya fake (palsu). Harap maklum.

“Saya cuma ada Instagram ini sahaja,” kongsinya ringkas.

A post shared by Syamsul Yusof (@syamsulyusoffilm)

Syamsul bagaimanapun dilihat menutup ruangan komen pada hantaran tersebut.

Terdahulu, satu akaun palsu di atas nama @Syamsulyusoffilm di laman TikTok telah diwujudkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Malah akaun tersebut turut berkongsi video yang memaparkan kehidupan peribadi pengarah filem Mat Kilau tersebut.

Dalam pada itu, salah satu konten yang dikongsi di laman akaun palsu berkenaan yang memaparkan video Syamsul melawat kawasan ladang yang dipenuhi pokok tanaman menjadi tular sehingga ada beberapa media tempatan menulis cerita mengenai video tersebut.

Sehingga artikel ini ditulis, akaun palsu berkenaan telah memiliki 42ribu pengikut.