Pelakon Rita Rudaini menjelaskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap komen yang ditulis oleh pengikutnya di media sosial.

Menurut Rita, dia tidak akan menutup ruang komen atau ‘block’ mana-mana pengikut di laman sosial miliknya walaupun komen yang ditulis oleh mereka itu mengundang perbalahan sesama sendiri.

"Saya ambil pendekatan untuk tidak akan padam komen atau ‘block’ mana-mana pengikut, biarlah kalau mereka nak berkelahi atau bergaduh.

"Seperti semua tahu, mereka akan kaitkan posting saya dengan bekas suami jadi biarlah apa mereka ingin katakan kerana kisah antara kami sudah pun berlalu sejak enam tahun lalu.

"Yang penting bukan saya yang seru nama bekas suami. Nanti lama-lama netizen kita ini akan senyap sendiri,” katanya kepada Gempak.

Rita berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media All Stars Buka Panggung, di The Starling Mall, Damansara Utama, baru-baru ini.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar dan bekas suaminya, Aidil Zafuan berkahwin pada 2008, namun bercerai pada September 2013.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7.

Dalam perkembangan terkini, Rita akan menyertai All Stars Buka Panggung akan disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Program ini akan menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

Berikut merupakan para All Stars yang akan bertanding dari minggu pertama hingga ke minggu ke lima.

All Stars Minggu Pertama
1) Datuk Aaron Aziz
2) Datin Seri Umie Aida
3) Naim Daniel
4) Liyana Jasmay

All Stars Minggu Kedua
1) Datuk Rosyam Nor
2) Datin Diana Danielle
3) Fizo Omar
4) Farahdhiya

All Stars Minggu Ketiga
1) Fahrin Ahmad
2) Zulhuzaimy
3) Sharifah Sakinah
4) Sweet Qismina

All Stars Minggu Empat
1) Datuk Fizz Fairuz
2) Johan As’ari
3) Rita Rudaini
4) Ruhainies

All Stars Minggu Lima
1) Fauzi Nawawi
2) Izzue Islam
3) Noorkhiriah
4) Mona Allen

Seorang pemenang akan dipilih pada setiap minggu bagi merebut peluang bertanding pada minggu separuh akhir dan hanya empat peserta yang bakal melayakkan diri ke peringkat akhir untuk memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000 berserta trofi.

Untuk setiap minggu, juara mingguan akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM4000 kepada pelakon tanah air yang telah berbakti kepada industri seni tanah air.

Program ini akan bersiaran selama 7 minggu bermula 6 September, setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.