Berita
Scarlett Johansson & Colin Jost Kahwin, Ajak Menderma Buat Warga Emas
Aktres terkenal Hollywood, Scarlett Johansson dan tunangnya, Colin Jost dilaporkan telah selamat berkahwin minggu lalu.
Pengumuman perkahwinan mereka dibuat oleh sebuah badan pertubuhan amal untuk warga emas, Meals on Wheels.
Menerusi hantaran yang dibuat di akaun Instagram dan Twitter, Meals on Wheels mengatakan pasangan itu berkahwin dalam sebuah majlis yang sangat sederhana dengan dihadiri oleh keluarga terdekat dan mengikut protokol kesihatan Covid 19 seperti yang telah ditetapkan.
"Kami sangat teruja untuk mengumumkan Scarlett Johansson dan Colin Jost sudah berkahwin minggu lalu.
"Mereka mengimpikan perkahwinan yang dibina mampu membawa perubahan kepada semua yang terkesan dengan pandemik Covid 19 dan golongan yang memerlukan di MealsonWheels," umum badan pertubuhan amal yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Organisasi itu kemudian mengajak khalayak yang ikut meraikan perkahwinan mereka untuk menyumbangkan derma atau beramal buat warga emas.
"Kalian boleh menderma untuk meraikan perkahwinan mereka," tulis MealsonWheels.
BBC News juga melaporkan pihak perwakilan pemegang watak Black Widow itu sudah menjadi isteri Jost yang menjadi tunangannya sejak Mei 2019.
TMZ pula melaporkan pasangan yang mula keluar bersama sejak 2017 itu berkahwin di Palisades, New York.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Jost, namun yang ketiga buat pelakon berusia 35 tahun itu.
Johansson sebelum ini pernah berkahwin dengan aktor Ryan Reynolds dan seorang usahawan dari Perancis, Romain Dauriac. Hasil perkahwinan itu, aktres yang menerima bayaran tertinggi ini memiliki seorang anak perempuan.
Kredit Foto: Reuters
Must-Watch Video