Bukan sebuah khabar yang mengejutkan jika Search menjadi band lokal pertama yang berjaya menganjurkan konsert di Arena of Stars, Resort World Genting.

Sebagai kugiran rock legenda tanah air yang sudah bergelumang empat dekad dalam belantika muzik Nusantara, tentunya berita Search dengan Konsert Fantasia Bulan Salju yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini sangat dinantikan seluruh peminat mereka.



Apatah lagi mengambil tema dan konsep ‘Fantasia Bulan Madu’ yang juga merupakan salah satu hit terunggul sepanjang masa yang pernah ada dalam katalog lagu-lagu Search, ada yang sangat istimewa mengenai konsert ini berbanding sebelumnya.

Menurut Search, segalanya tentang Konsert Fantasia Bulan Salju yang dianjurkan oleh MIC Entertainment Grup adalah mengenai fantasi dan kembara seni kugiran ini sejak empat dekad lalu.

“Fantasia Bulan Madu adalah salah satu monster hit yang pernah dilahirkan Search. Daripada lagu ini, Datuk Amy dan Datin Nourish melahirkan idea untuk muncul dengan konsert bertemakan Fantasia Bulan Madu namun kerana ia diadalah di Genting, kita ubah menjadi Fantasia Bulan Salju sesuai dengan suasana sejuk di puncak.

“Kami tidak mahu membocorkan banyak hal tentang perancangan konsert ini tapi ia akan bersifat eksperimentasi, ada bentuk teater dan tentulah sesuatu yang mengujakan menanti peminat dengan perjalanan empat dekad kami dalam industri seni,” ujar pemain bass Search, Nasir.

Search ditemui media sewaktu sidang akhbar Konsert Fantasia Bulan Salju yang di adaka di Le Meridien, Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu vokalis Search, Amy, mengatakan rendisi lagu yang bakal dimainkan juga akan lebih bersifat romantis.

“Sesuai dengan konsepnya juga, kami akan memilih hit-hit romantis Search untuk dipersembahkan dalam Fantasia Bulan Salju,” katanya.

Sementara itu sebanyak 70 peratus tiket terjual dengan kesemua tiket VIP sudah habis ‘diborong.

Namun peminat masih boleh mendapatkan tiket pada bahagian Rock Zone berharga RM128 boleh dibeli menerusi sesawang rwgenting.com dan my.bookmyshow.com.

“Kami percaya sehingga tarikh 12 Ogos nanti, semua tiket akan habis terjual memandangkan budaya pembelian pada saat akhir dilihat agak tinggi,” kata Search.