Viral
Sebaknya Tengok Dokumentari Khas Allahyarham Koperal Safwan Dari PDRM Ni…
Pada Ahad lalu, Koperal Safwan Muhammad Ismail maut ketika bertugas di sekatan jalan raya dekat Plaza Tol Kajang, LEKAS, Selangor gara-gara seorang pemandu mabuk.
Mengimbas kembali kejadian menyayat hati tersebut, Allahyarham Safwan, 31, disahkan meninggal dunia jam 2.20 pagi di lokasi kejadian selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.
Jenazah barisan hadapan negara itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Ipoh, jam 6 pagi Isnin, sejurus selesai azan Subuh .
Pengorbanan Allahyarham sehingga hembusan nafas terakhir itu diabadikan dalam sebuah dokumentari khas oleh RMP TV Channel, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman bagi menghargai jasa dan pengorbanan wira negara itu.
Selain saluran Youtube RMP TV Channel, bingkisan tersebut turut dikongsi di laman sosial Facebook (FB) Polis Diraja Malaysia.
Kandungan dokumentari khas yang memaparkan ‘perjalanan terakhir’ Allahyarham mengundang sebak warganet, apatah lagi apabila melihat wajah bapa Koperal Safwan, Muhammad Ismail Othman, yang sugul tetapi reda dengan pemergian anak kesayangannya itu.
Rata-rata warganet mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham Koperal Safwan tabah menghadapi dugaan terbesar pada Ramadan tahun ini.
Semoga roh Allahyarham Koperal Safwan ditempatkan dikalangan muslimin dan muslimat dikasihi Allah SWT.
Sehingga artikel ini ditulis, dokumentari khas tersebut telah pun ditonton sebanyak 644,000 kali dengan 24 ribu reaksi dan 1800 komen serta mendapat hampir 2000 perkongsian di laman sosial FB.
Dalam upacara pengkebumian pada Isnin lalu, lebih 300 penduduk kampung, anggota polis dan rakan-rakan yang hadir mengiringi jenazah.
Hadir memberi penghormatan terakhir, Komander 69 Komando PGK, Senior Asisten Komisioner, Abd Razak Yusof dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad.
Must-Watch Video