Penyanyi Bunga Citra Lestari berkongsi detik terakhir bersama Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari tahun lalu.

Menurut Bunga atau lebih mesra disapa BCL berkata sehari sebelum kejadian berlaku dia dan Ashraf baru sahaja pulang dari New York.

"Awal pagi lagi dia dah sibuk dengan beberapa mesyuarat. Sebaik pulang dari New York, macam-macam perkara perlu diselesaikan.

"Saya pula ke program Indonesia Idol. Kami masih berhubung melalui mesej seperti biasa pada waktu tengah hari," katanya dalam temubual bersama Boy William di saluran YouTube.

Katanya, selepas pulang dari program itu, dia sempat berbual sebelum arwah memberitahu dirinya berasa letih dan ingin tidur dulu.

Namun, perasaan bercampur baur timbul selepas arwah tidak sedarkan diri walaupun sudah dikejutkan dengan pelbagai cara.

"Sebaik pulang, saya nampak Ashraf berada dalam bilik. Kami sempat memilih gambar terbaik untuk single duet saya bersama Ariel Noah yang berjudul Menghapus Jejakmu untuk platform digital.

"Selepas itu, Ashraf beritahu dia letih selepas menjalani 'cross fit'. Jadi, dia minta izin untuk tidur dulu. Dia tidur, saya masuk ke bilik mandi.

"Apabila saya selesai mencuci muka, saya cuba membangunkannya dengan panggil 'hey sayang' dan mencium pipi namun tiada respons.

"Saya peluk tapi tak bergerak. Saya dapat rasakan sesuatu yang pelik. Saya cakap kepadanya ini bukan sesuatu yang lucu.

“Pada ketika itu, hati saya sudah terdetik ini bukan gaya pengsan," kata BCL.

Akibat terlalu panik ketika memanggil ibunya, pelantun lagu Cinta Sejati itu telah membuatkan anak lelakinya, Noah Sinclair terjaga dari tidur.

"Noah terjaga sebaik saya menjerit memanggil ibu. Noah datang kepada saya dan bertanya apa sudah berlaku dan kenapa saya menangis?

"Saya beritahu Noah untuk ikut saya sebab bapanya sudah tak sedarkan diri.

“Saya telefon rakan dan minta dia bawa ke hospital," katanya lagi.

Ashraf disahkan meninggal dunia setibanya di hospital akibat serangan jantung kira-kira pukul 4.00 pagi (waktu tempatan).

Jenazah arwah telah dikebumikan di kompleks pemakaman San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Indonesia.