Pelakon Zoey Rahman akur dengan kehendak petugas kesihatan yang tidak membenarkan dirinya untuk merakam video ketika disuntik vaksin pada Rabu.

Bagaimanapun, Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abd Rahman bersyukur menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang sudah divaksin.

"Masa nak suntik saya diberitahu tak boleh rakam video. Katanya memang itu adalah peraturan.

"Jadi saya pun okey ja la.. cuma ada rasa sedih sikit sebab orang lain boleh rakam. Tak dapat ambil video tak apa, janji vaksin kita dapat," katanya kepada Gempak.

Sementara itu, Zoey menafikan dakwaan segelintir netizen yang mengatakan dia mendapat layanan istimewa apabila menerima vaksin jenis Sinovac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Saya updated MySejahtera setiap hari. Jadi bila saya dapat notifikasi yang saya dapat temu janji vaksin, saya ikut setiap arahan.

"Alhamdullilah. Saya bersyukur sangat. Saya rasa mereka bagi slot yang available lah kot.

"Saya tak tahu pusat vaksin tu untuk siapa dan golongan yang macam mana? Saya nampak pelbagai lapisan umur ada bersama untuk mendapatkan vaksin," katanya lagi.

Dalam pada itu, usahawan kosmetik ini menyatakan dia berada dalam keadaan sihat tanpa mengalami sebarang simptom.

"Alhamdulillah sampai sekarang saya okey tak ada simptom nak demam ka. Cuma lepas suntik ada rasa mual tapi mungkin sebab saya tak sarapan," katanya.