Satu produk ‘pemberi tenaga’ yang mula popular dalam kalangan pelajar sekolah dan boleh didapati pada harga yang murah telah mencetuskan kerisauan dalam kalangan netizen.

Menerusi hantaran yang dibuat oleh akaun advokasi kesihatan, Public Health Malaysia di platform X, produk yang dilabel sebagai energy stick boleh dianggap sebagai permulaan untuk penggunaan vape dan juga dadah.

“Jolok hidung dan sedut. Ini adalah produk terbaharu di pasaran yang mula popular dalam kalangan pelajar sekolah. Ia dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10 sahaja.

“Produk penyedut hidung (nasal inhaler) ini dipromosikan sebagai produk untuk memberi tenaga dan untuk memberi kesegaran kepada pengguna. Ada penjual yang menggunakan tagline ‘Sedut dahulu, baru pergi ke sekolah’, ‘Sedut dulu, baru mulakan kerja’.

“Ia bersaiz kecil, hanya sebesar pemetik api, berwarna-warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik. Ada dua corong yang muat ke lubang hidung dan boleh disedut melalui hidung terus ke paru-paru,” terang PHM.

Dalam masa sama, PHM turut mendedahkan yang cara pengambilan produk ini sama seperti cara pengambilan dadah.

“Jika diperhatikan, pengambilan produk ini sama seperti pengambilan dadah melalui hidung iaitu ‘snorting’ dan secara psikologinya adalah sangat negatif kerana mengalakkan pengguna untuk mencuba bahan bahan lain termasuk dadah.

BERITA TRENDING: Pelakon, Tiga Tertuduh Berdepan Hukuman Mati Sebab Jual Ganja Dalam Vape

“Dari segi perubatan, pengambilan bahan kimia melalui hidung boleh menyebabkan risiko kerosakan mukus dalam rongga hidung, luka, pendarahan dan jangkitan. Alahan dan keracunan juga boleh berlaku kerana bahan yang digunakan tidak diketahui,” katanya.



Dalam perkembangan lain, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia cakna dengan isu ini dan bakal mengambil tindakan lanjut.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata beliau mengakui sudah menerima aduan dan amaran berhubung produk berkenaan.

BERITA TRENDING: Ditegur Pakai T-Shirt & Topi Dalam Masjid Nabawi, Alam Wakaka; "Aku Tutup Aurat, Bukan Bogel"

"Saya sudah awal menerima 'alert' ini. Langsung saya beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media.

"Kita (KKM) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak pada Ahad.