Filem
Sedutan Novel Kau Yang Satu : Pertemuan Antara Datuk Mustaza Dan Sulaiman
Bersempena tayangan filem adaptasi novel ‘Kau Yang Satu’ yang akan menemui penonton bermula 27 Julai ini, Astro Gempak mengimbas kembali beberapa sedutan menarik novel tersebut.
‘Kau Yang Satu’ karya novelis Nia Azalea ini merupakan novel paling laris dan telah diulang catak sebanyak 20 kali sejak novel itu diterbitkan pada tahun 2003.
Kini, kisah cinta tiga segi antara Taufik, Salina dan Zul menerusi novel tersebut telah ‘dijelmakan’ dalam bentuk filem oleh pengarah, Osman Ali.
Menariknya, pemilihan para pelakon untuk filem ini sangat bertepatan dengan karakter-karakter dalam novel tersebut.
Para pelakon yang dimaksudkan adalah Aaron Aziz (Taufik), Izara Aishah (Salina), Hisyam Hamid (Zul) dan Soo Wincci (Isabella).
Untuk meraikan ulang tahun ke 14 novel tersebut, Astro Gempak kongsikan sedutan novel ‘Kau Yang Satu’.
Momen-momen menarik dalam sedutan yang dikongsi ini merupakan pilihan Nia Azalea sendiri.
Sedutan pertama ini merupakan kisah Datuk Muztaza (bapa Taufik) bertemu dengan Sulaiman (bapa Salina).
Prologue
Takdir Allah menentukan bot peribadi Mustaza karam di tengah laut China Selatan. Namun, umur ahli perniagaan tersohor itu masih panjang apabila diselamatkan oleh Sulaiman, nelayan yang telah pun melangkau usia separuh abad, yang tinggal di perkampungan Cherok Paloh.
Miskin harta tidak bermakna miskin budi pekerti. Itu yang dapat disimpulkan oleh Mustaza. Kemesraan layanan Sulaiman sekeluarga membuatkan hatinya benar-benar terpaut. Itu yang mendorong Mustaza untuk kembali ke kampung Cherok Paloh bersama hajat yang setinggi gunung.
***********************************************
Sulaiman melemparkan pandangannya jauh-jauh. Dia berasa malu dengan tetamu yang datang ke rumahnya itu. Terasa dirinya serba kekurangan. Tidak layak rasanya menerima kunjungan tetamu kehormat. Ahli perniagaan terkenal pula tu. Kalaulah Salina tidak membeli ikan bilis dari kedai runcit di hujung kampung, sudah tentu sampai sekarang pun Sulaiman masih tertanya-tanya identiti Mustaza. Gara-gara suratkhabar yang membungkus ikan bilis itulah, Salina mendapat tahu perihal diri Mustaza yang sebenarnya.
“Datin Aisyah macam mana? Sihat? Kenapa tak ajak dia datang sekali?” Tanya Sulaiman.
“Abang, usahlah berdatin dan berdatuk dengan saya. Panggil aje nama. Lebih mesra. Lagipun saya dah anggap keluarga abang ni, macam keluarga saya,” usul Mustaza.
Sulaiman hanya mengangguk dan mengukir senyuman.
“Bukan dia tak nak datang. Saya yang tak nak bawa. Bukan apa, saya datang pun nak melawat projek dekat-dekat sini. Jadi saya pun singgah sekejap.”
Sulaiman mengangguk. Dia sudah tahu itu semua. Orang kampung Cherok Paloh sudah heboh bercerita tentang pembinaan resort berhampiran kampung mereka.
Malah dia sendiri kalau turun ke laut, memang tidak pernah lepas memandang pekerja-pekerja asing Bangladesh, yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan projek pembangunan resort yang satu-satunya berhampiran dengan perkampungan nelayan.
“Mana yang lain?” Mustaza meliarkan matanya memandang ke seluruh pelusuk rumah.
Tidak banyak perabot yang menghiasi ruang tamu. Sekadar set kerusi rotan yang usang. Atap gentingnya pun ada yang bocor. Lantai rumah sekadar dilapik dengan tikar mengkuang. Walaupun demikian keadaan rumahnya nampak bersih dan kemas. Dijaga begitu rapi.
“Mereka ke sekolah. Ada aktviti petang. Biasalah Mustaza, sekolah sekarang bukan macam dulu-dulu lagi. Ada-ada aje aktiviti luar.”
Mustaza mengangguk tanda setuju.
“Tak apalah abang. Budak-budak nak belajar. Lambat-laun mereka berjaya, abang pun boleh tumpang senang.”
Sulaiman mengeluh. Muka ditundukkan. Tumpang senang? Salina pun hanya berjaya disekolahkan sehingga ke Tingkatan 6. Itu pun separuh jalan. Tidak mampu dia hendak menanggung yuran persekolahan. Itu belum masuk belanja pakaian dan peralatan sekolah. Masih teringat lagi betapa peritnya mencari wang untuk membiayai peperiksaan Angah dan yuran khas Ripin.
“Entahlah Mustaza, susah nak cakap. Tengoklah sendiri kehidupan saya ni. Sekarang ni pula musim hujan. Kalau boleh saya pun tak nak Angah dan Ripin jadi macam Salina. Belajar separuh jalan saja…-”
“Hisy, saya kan ada. Kalau setakat masalah wang ringgit, saya boleh tolong. Takkanlah saya nak berkira. Saya sebenarnya terhutang nyawa dengan abang. Hutang nyawa tak sama biar pun dibayar dengan wang ringgit.”
“Saya malu nak menyusahkan Mustaza sekeluarga,” ujar Sulaiman dengan rasa rendah diri.
“Abang dengar sini,” Mustaza mengengsot sedikit, merapati Sulaiman yang masih menundukkan mukanya.
“Abang tak menyusahkan saya. Saya yang ikhlas nak tolong. Saya tak nak abang anggap saya macam orang luar. Kalau boleh, hubungan kekeluargaan ini kita rapatkan lagi. Itulah sebaik-baiknya. Boleh begitu?”
Dengan perlahan-lahan Sulaiman mengangkat muka. Ada tanda tanya yang bermain di dalam benaknya. Samar-samar wajah Mustaza, dikaburi air jernih di kelopak matanya.
***********************************************
Jadi jangan lupa untuk menyaksikan filem terbitan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd yang akan menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 27 Julai ini.
Ingin dapatkan edisi terhad Kau Yang Satu, layari Karangkraf.com.
Must-Watch Video