Berita
“Segala Penantian Sudah Berakhir…”- Hans Issac Bukan Lagi Pengerusi FINAS
Pelakon dan pengarah, Datuk Hans Issac akui penantiannya selama ini sudah berakhir apabila jawatannya sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dibatalkan.
Hans menerima suat rasmi mengenai pembatalan pelantikan itu pada hari ini, 23 Mei selepas menjadi Pengerusi Finas sejak April tahun lalu.
“Saya bersyukur kepada Tuhan segala penantian berakhir di mana saya telah menerima surat penamatan kontrak sebagai Pengerusi FINAS bermula 1 Syawal 1441H / 24 Mei 2020,” katanya.
Hans mengesahkan berita tersebut menerusi akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut, Hans memuat naik surat penamatan kontrak tersebut.
Hans juga turut mengimbas kembali antara usaha dan inisiatif yang telah dilakukan untuk industri seni perfileman ketika menyandang jawatan tersebut.
“Mengimbas kembali dalam tempoh beberapa bulan sebagai Pengerusi FINAS, saya telah mencuba yang terbaik untuk industri ini walaupun berdepan dengan tatacara dan cabaran birokrasi dalam agensi kerajaan,” katanya lagi.
Sementara itu, menerusi akaun Facebook rasmi FINAS turut mengesahkan perkara tersebut.
Menerusi kenyataan tersebut, FINAS membuat pelantikan baru iaitu Zakaria Abdul Hamid sebagai Pengerusinya dan Datuk Norman Abdul Halim sebagai Timbalan Pengerusi FINAS bermula 23 Mei 2020.
Terdahulu, Hans Issac telah didesak untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi FINAS oleh sekumpulan persatuan penggiat seni tanah air.
Desakan tersebut dibuat Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM), Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC) kelmarin.
Mereka mendakwa beliau gagal melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan industri seni tanah air selain dikaitkan dengan beberapa dakwaan salah guna kuasa.
Must-Watch Video