Kesedihan pemuda cacat penglihatan Mohd Yazid Mohd Nor, yang gambarnya tular di tangga setelah rumahnya terbakar kelmarin, mendapat perhatian pendakwah bebas Ebit Lew.

Ebit Lew bersyukur kerana dapat membantu bukan sahaja membina rumah baru malah menghadiahkan motosikal roda tiga buat pemuda itu serta adik beradiknya.

“Alhamdulillah. Bantu rumah adik terbakar di Pengkalan Chepa. Dua beradik ni tadi menangis cakap terima kasih. Ulang kali. Sedih pula rasa.

“Terus plan buatkan rumah baru untuk adik ini. Tadi bawa plan rumah dan bayarkan dengan kontraktor disini untuk barang dan lain-lain.

“Hadiahkan motosikal baru roda tiga untuk abang ni cari rezeki. Motosikal lama dah terbakar. Menangis abang ni dapat motor baru. Katanya ya Allah, sehari dapat semua sekali,” katanya.

Pendakwah yang terkenal dengan sifat dermawan itu berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menurut Ebit beliau kagum dengan pemuda itu meskipun cacat penglihatan namun tetap menjaga adiknya yang downsindrome.

“Hebat abang ni jaga adik downsindrom dan buta. Setiap malam akan pergi rumah ini cari rumahnya. Tadi saya cakap nak buat rumah. Dia kata dekat saya tak nak tinggi takut jatuh. Saya kata rumah rendah saja,” katanya lagi.

Dalam kejadian Selasa lalu, kebakaran rumah mereka disedari oleh Mohd Yazid, yang ketika itu sedang tidur di dalam sebuah bilik selepas merasai bahang api pada bahagian muka serta badannya dan turut terselamat kedua-dua abangnya.

Dalam misi bantuan tersebut, Ebit Lew melantik seorang kontraktor untuk membina sebuah rumah yang mengandungi tiga bilik dan dua bilik air bagi keselesaan mereka tiga beradik.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)