Laman Utama

"Sekarang Saya Dah Tahu Siapa Kawan, Siapa Lawan" - Kesal Ada Rakan Artis Tergamak Kutuk Belakang, Nabila Razali Tetap Terus Menyanyi

gempak
Zulaikha Yusof
25/03/2021
03:08 MYT
Sponsor Banner
"Sekarang Saya Dah Tahu Siapa Kawan, Siapa Lawan" - Kesal Ada Rakan Artis Tergamak Kutuk Belakang, Nabila Razali Tetap Terus Menyanyi
Penyanyi Nabila Razali, 29, akui berasa kesal apabila menerima kecaman daripada individu yang dikenalinya gara-gara persembahan Peluang Kedua pada malam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).
Menurut Nabila, dia tidak menyangka rakan artis yang sama-sama mencari makan dalam industri seni ini turut mengutuk di belakang.
"Kesal juga kerana tak sangka, orang yang sama-sama cari rezeki dalam bidang ini, pernah sama-sama duduk semeja, duduk berbual, namun dia jugalah yang cakap negatif pasal saya.
"Sedangkan kita sama-sama menjadikan kerjaya ini sebagai periuk nasi, apa salah makan elok-elok? Sebenarnya tak perlu pun menambah minyak lagi.
"Sekarang saya dah tahu siapa kawan, siapa lawan," katanya.
Nabila ditemui ketika majlis pelancaran kolaborasi sulung bersama Big Mouth di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.
Enggan mendedahkan identiti individu terbabit, pelakon drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati ini berharap agar perbuatan sama tidak berulang lagi.
"Tak perlu untuk saya dedahkan siapakah mereka itu. Siapa yang tahu, tahulah. Bukan apa, mereka ini cakap tentang saya seolah-olah begitu mengenali diri ini sejak kecil, tak manislah bukan.
"Tak apalah, harap-harap selepas ini kita semua boleh buka mata dan beringat setiap kali berbicara akan sesuatu. Adakala kita ini sebagai manusia bila enak bercakap sampai lupa keadaan sekeliling,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali menafikan dakwaan yang mengatakan dia akan berhenti daripada menyanyi gara-gara kegagalan di pentas AJL35.
"Perkara itu tidak akan berlaku. Tiada apa yang dapat menghalang saya daripada melakukan apa yang disukai.
"Sekarang ini, walau apa pun yang saya buat, orang tetap akan bercakap. Tak mengapa, perkara yang dah lepas sudah pun terjadi.
"Apa yang penting terus berjalan ke hadapan sebab kita masih boleh merancang untuk hari esok," kata Nabila.
Terdahulu, Nabila menerima kecaman hebat selepas beberapa kali terkucil ketika menyanyikan lagu hasil karya Hael Husaini dan MFMF.
Lagu Peluang Kedua pada awalnya dibawa oleh Hael ketika pentas separuh akhir Muzik-Muzik 35 selepas Nabila menarik diri kerana mengalami masalah peti suara dan dinasihatkan oleh doktor untuk berehat.
Walaubagaimanapun, Nabila kemudiannya membuat keputusan untuk menyanyikan sendiri lagu berkenaan di pentas berprestij itu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024