Penyanyi Ameng akui ganja merupakan dadah yang mula-mula diambil dan diberikan secara percuma oleh rakannya.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail berkata ketika mencubanya dia berasa sangat bertenaga dan keesokkannya meminta lagi yang akhirnya terjebak.

“Saya tidak nafikan ketika mengambil dadah rasanya sangat bertenaga sehinggakan saya mampu menyanyi dalam tempoh yang lama.

“Saya juga akui semasa menjadi mangsa dadah, kehidupan kucar-kacir.
“Saya tiga kali bankrap dan duit royalti hasil nyanyian juga entah ke mana,” katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri 69 bertajuk: Dadah: “Aku Peduli Kau Jangan Tidak Peduli.”

Ameng turut berkongsi selama tiga bulan dia diganggu suara ghaib.

“Selama tiga bulan saya diganggu suara ghaib dan Allah S.W.T buka hijab saya untuk melihat dunia ghaib.

“Isteri saya juga takut untuk tidur bersama saya bimbang jika saya terjaga saya akan menikamnya.

“Saya sungguh beruntung kerana suara ghaib itu tidak menyuruh saya melakukan aktiviti yang tidak sihat seperti menyuruh saya membunuh. Suara itu seolah-olah memberi keinsafan kepada saya,” katanya.

Menurutnya, malangnya walaupun tiga bulan suara itu bersamanya, dia masih tidak insaf dan masih tega menjadikan dadah sebagai sahabat.

Sumber: Sinar Harian