Salam Muslim
Selebriti Popular Sokong Zikir Perdana, Ajak Orang Ramai Berzikir Bersama
Selepas kejayaan program Selawat Perdana: Malam Cinta Allah Dan Rasul yang menghimpunkan 500,000 umat Islam tahun lalu, Pertubuhan Tarekat Muktabar (PERTAMA) menganjurkan Majlis Zikir Perdana yang akan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu, 7 November ini, bermula jam 5 petang.
Penganjuran Majlis Zikir Perdana mendapat sokongan selebriti popular tanah air iaitu Nabil Ahmad, Hisyam Hamid, Siti Elizad, Afiq Muiz, Miera Liyana, Faye Kushairi, Mawi, Aishah Ilias, Johan As'ari, Izzue Islam, Azza Elite, Azwan Kombos, Farawahida, Ayu Damit, Fazli Zainal, Siti Nordiana, Kumpulan Forteen, Daly Filsuf dan ramai lagi.
Nabil ketika ditemui berkata, golongan selebriti mampu menggunakan populariti yang dikecapi untuk tujuan kebaikan, sebagai sebahagian sumbangan terhadap majlis ilmuan itu.
"Sebagai insan seni, saya mengharapkan lebih ramai generasi muda hari ini berasa teruja untuk menghadiri majlis ilmu Zikir Perdana di Masjid Putra, Putrajaya nanti.
"Bagi saya, sekiranya kita boleh meluangkan masa untuk menonton konsert hiburan artis barat dan tempatan, kita juga mampu bersama membawa keluarga atau teman untuk menghiburkan diri dengan alunan zikir dan selawat yang sudah tentunya memberi banyak manfaat kepada diri, famili dan masyarakat keseluruhannya," katanya kepada Astro Gempak.
Pelakon popular Hisyam Hamid turut terpanggil untuk menggesa peminatnya memberi sokongan kepada majlis agama itu.
"Saya hadir bukan atas tiket sebagai selebriti, tetapi sebagai umat Islam yang seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk mengajak masyarakat melakukan kebaikan bukan saja untuk diri sendiri, malah untuk agama.
"Saya bukan insan yang sempurna, namun sedikit kelebihan yang ada sebagai ikon, sudah tentu akan saya gunakan sebaik mungkin. Setidaknya, sedikit populariti yang saya miliki ini boleh dianggap sebagai dakwah yang akan dihitung di akhirat kelak," katanya.
Misi penganjuran dan pengisian program Majlis Zikir Perdana cukup mulia kerana bakal menghimpunkan seluruh umat Islam dalam usaha menghidupkan amalan zikir berjemaah dalam masjid, surau, pondok, dewan dan premis kediaman di seluruh negara.
Zikir Perdana ini juga diadakan sempena majlis perasmian PERTAMA oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Dalam Negeri, YAB Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada hari berkenaan.
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin
Must-Watch Video