Dunia seni Hollywood terus hadir dengan berita-berita hangat.

Salah satu yang sedang menjadi buah mulut peminat adalah tentang hubungan penyanyi Selena Gomez dengan salah seorang mantan anggota One Direction, Zayn Malik.

Spekulasi keduanya menjalin hubungan mula bertebaran selepas seorang pengguna Twitter berkongsikan perbualannya dengan seorang kawan yang mendakwa baru melayan Selena dan Malik di sebuah restoran.

Tanpa memperincikan nama restoran kedua selebriti popular itu singgah, rakan kepada pengguna akaun @klarissa.mpeg itu mendakwa dia bekerja di sebuah tempat kegemaran para selebriti Hollywood singgah.

“Beritahu saya macam mana Selena Gomez dan Zayn Malik baru masuk ke restoran ini berdua, duduk dan saya melayani mereka?”bunyi perbualan yang dikongsikan seperti dilaporkan People.com.

Bagaimanapun perwakilan Gomez dan Malik belum memberi sebarang kenyataan.

Seminggu sebelum keduanya ‘ditangkap’ bersama, peminat mendakwa Gomez telah mengikuti akaun Instagram Malik.

Gomez, 30, cukup terkenal dengan hubungan cinta bersama Justin Bieber sementara Malik pula berpisah dari pasangannya, supermodel Gigi Hadid pada 2021.