Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie mengumumkan telah membuat keputusan untuk menghentikan sementara jenama fesyennya, Jovian Mandagie dan Jovian ready-to-wear setelah 17 tahun berada dalam dunia fesyen.


Henti operasi selepas 17 tahun

Berita tersebut dikongsikan oleh Jovian menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya pada Khamis.

“Selepas 17 tahun perjalanan yang luar biasa dalam dunia fesyen bersama @jovianmandagie & @joviantw, bersama pasukan yang hebat dan peluang yang tidak terkira banyaknya, saya mempunyai keistimewaan mereka bentuk busana untuk golongan elit dan kerabat diraja di seluruh dunia.

“Kami telah melancarkan pelbagai koleksi pakaian untuk jutaan rakyat Malaysia, meneroka pelbagai kategori fesyen yang telah menghidupkan idea menjadi realiti.

“Ia merupakan satu kegembiraan bagi saya untuk melayan anda semua, Jovianista yang dikasihi,” tulisnya.

Bagaimanapun kata Jovian, keputusan itu dibuat seiring dengan perubahan peredaran zaman yang dilaluinya sepanjang bergelar pereka fesyen.

“Walau bagaimanapun, seiring berjalannya masa, saya mula menyedari bahawa saya bersedia untuk perubahan, untuk meneroka apa yang benar-benar mendorong saya.

“Industri fesyen sedang berkembang, dan begitu juga dengan saya. Beralih daripada seorang pereka fesyen kepada ahli perniagaan.

“Dengan mengambil kira perkara ini, kami telah memutuskan untuk menghentikan seketikan operasi di @jovianmandagie dan @jovianrtw.

“Kami akan menutup pintu kami dalam masa dua minggu, dan kami menjemput anda untuk membeli-belah dengan kami buat kali terakhir sebelum kami melabuhkan tirai,” maklumnya.

Berikut merupakan kenyataan penuh Jovian:

A post shared by Jovian Rayke Mandagie (@jmandagie)

Untuk info, Jovian Mandagie memulakan jenama fesyennya ketika berusia 20 tahun dan berusaha tanpa henti sehingga mampu memiliki sebuah jenama besar.

Jovian juga terkenal sebagai antara pereka fesyen yang tidak lokek dengan senyuman dan mempunyai sikap peramah.

Terdahulu, Jovian Mandagie sebelum ini berkahwin dengan anak bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Nina pada 11 Disember 2013.

Pasangan ini turut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia enam tahun.

BERITA TRENDING: Jovian Mandagie, Nina Ismail Sabri Umum Bercerai - “Kami Percaya Itu Adalah Yang Terbaik”

Namun jodoh mereka tidak panjang apabila Jovian mengumumkan mereka sudah bercerai sejak Ogos tahun lalu.