Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei sah mengumuman pesaraannya hari ini selepas 19 tahun dalam arena sukan.

Menurut Chong Wei, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada doktor akibat masalah kanser hidung yang dihadapinya.

“Keputusan yang dilakukan ini sangat sukar untuk dilakukan dan saya mengambil masa selama sebulan sebelum memutuskan untuk bersara.



“Sepatutnya saya merancang untuk bersara selepas sukan Olimpik di Tokyo pada tahun depan namun tidak dapat dilakukan kerana masalah kesihatan tidak mengizinkan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa menyokong saya sepanjang karier selama 19 tahun,” katanya sebak.

Chong Wei berkata demikian ketika menyampaikan ucapan persaraan beliau di Menara KBS, Putrajaya, sebentar tadi.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada jurulatih Datuk Misbun Sidek di atas segala tunjuk ajar dan sokongan kepadanya selama pembabitannya sebagai pemain badminton bertaraf dunia.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut hadir dalam sidang media itu.



Sebelum ini, beliau sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada penghujung April lepas bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.

Ia bagi mencegah kanser hidung yang dihadapinya menyerang kembali selepas mendapat nasihat doktor.

Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Beliau juga tiga kali muncul naib juara dunia bermula edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.