Mantan kekasih Salman Khan, pelakon Somy Ali menggegarkan internet apabila mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa penderaan dari aktor Bollywood tersebut.

Somy mendakwa dirinya telah melalui episod penderaan yang kejam daripada aktor itu. Ia termasuklah dari segi mental, fizikal dan hubungan intim. Semua kejadian tersebut berlaku sewaktu mereka menjalin asmara pada sekitar tahun 90-an.

Menerusi potongan video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Somy juga menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Salman yang baru menyambut ulang tahun ke-57nya.

“Saya mahu Salman Khan mengaku semua kesalahan dan kekejaman sama ada secara mental, fizikal dan seksual yang dilakukan kepada saya sebelum ini.

“Saya juga mahu dia meminta maaf secara terbuka kerana telah menjadi manusia yang narsistik.

“Dan saya mahu dia ‘melepaskan’ program saya supaya India dapat menyaksikan No More Tears yang telah saya rancang selama 15 tahun untuk ‘menyelamatkan’ sehingga 40, 000 wanita dan lelaki,” katanya seperti dilaporkan Hindustan Times.

Dalam video sama dia berkata: “Saya mahu Salman Khan melihat ke cermin dan bertanya kepada dirinya sendiri ‘bagaimana saya boleh mengatakan tidak pernah memukul atau mendera saya’?

“Bagaimana anda boleh hidup dengan penipuan dan menyembunyikan kenyataan ini? Sangat memalukan. Saya harap anda mempunyai kekuatan untuk melakukan permohonan maaf kelak.”

Somy mendakwa dirinya hanya baru berani membuka kisah perit ini selepas 20 tahun kerana hidup dalam trauma.

Sementelah dia percaya, industri seni hiburan tempatan pada tahun 90-an sedar dirinya telah menjadi mangsa dera Salman.

“Saya percaya karyawan yang bersama pada tahun 90-an sedar diri saya telah didera Salman. Jadi saya hanya mengatakannya lagi sekarang,” katanya.

Salman Khan dan Somy dilaporkan pernah menjalin hubungan sekitar tahun 1991 sehingga 1999. Somy sempat terkenal dengan filem seperti Krishan Avtaar, Yaar Gaddar dan Anth lakonan bersama Suniel Shetty.