Penyanyi Masyitah tampil bersuara selepas dikecam warganet gara-gara pengakuannya mendapat kebenaran merentas negeri pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Masya sebelum ini mengaku mendapat kebenaran daripada polis atas tiket ibu bapa sebagai Pasangan Jarak Jauh (PJJ).

Bagaimanapun, pengakuan jujur tersebut menyebabkan rata-rata warganet panas hati kerana situasi PJJ hanya membabitkan suami dan isteri.

Tidak berdiam diri dengan kecaman dilemparkan warganet, Masya tampil memuat naik luahan menerusi ruangan Instastory di laman sosial Instagram (IG)nya.

Dalam dua hantaran yang dibuat Masya, penyanyi tersebut terkilan apabila dikecam tanpa usul periksa.

“Buat pengetahuan semua, ni gambar lama. Tahun ni saya dan keluarga taka da ambil gambar raya…So sebelum nak maki orang, tahu dulu cerita.

“Jangan tetiba nak menyerang, siap memaki ya. Terima Kasih,” tulisnya menjelaskan mengenai foto bersama keluarga menyambut Aidilfitri.

Menerusi hantaran tersebut Masya turut membulatkan tarikh foto tersebut dirakam iaitu ketika sambutan Syawal tiga tahun lalu, pada 6 June 2019.

Pada hantaran kedua, Masya meluahkan rasa kecewa kerana tetap dikecam walaupun bersikap jujur.

“Selepas hebat dikecam dan dimaki kerana bersikap jujur…Maka dengan ini saya tidak mahu lagi bercakap benar,” tulisnya.



Sementara itu Masya, menerusi laporan BH Online hari ini (Sabtu), memohon maaf atas kekecohan yang timbul membabitkan perkara sensitif.

Masya mengaku tidak berniat menambah bara kepada mana-mana pihak yang tidak dapat pulang beraya kerana sekatan perjalanan di bawah PKP 3.0.

"Saya dengan rendah hati memohon maaf jika perkongsian berita itu membuatkan banyak pihak terasa, apatah lagi, cerita pelbagai kluster rentas negeri mula bertebaran sejak akhir-akhir ini.

"Demi Tuhan, saya tidak berniat apa apa. Jauh sekali hendak mengundang perhatian atau kontroversi.

"Ketika membuat permohonan di balai polis, saya dan ibu melalui proses sama dan mencuba nasib seperti orang lain. Tiada istilah 'kayangan' atau apa-apa pun.

"Sudah rezeki saya dan ibu dapat balik kampung beraya bersama bapa dan adik-beradik lain," katanya.

Dalam pada itu Masya turut menjelaskan bagaimana dirinya dan ibu mendapat kebenaran merentas negeri.

Masya mendakwa dia dan ibunya mendapat kebenaran daripada pihak polis selepas membuat permohonan.

"Sebaik permohonan diajukan kepada anggota polis bertugas, saya dan ibu bertanya apakah dibenarkan dua orang melakukan perjalanan rentas negeri, iaitu ibu saya dan seorang individu lain.

"Polis kemudian membenarkan dua orang melakukan rentas negeri berdasarkan permohonan dibuat.

"Ketika itulah kami memutuskan hendak pulang ke Kulim berdua," katanya.