Industri hiburan Malaysia terus diwarnai dengan kehadiran wajah-wajah segar yang tampil berkarya dan tahun ini menyaksikan penyanyi Adrianna Cinta tampil dengan single terbarunya berjudul Sayang.

Menurut Adrianna atau nama lengkapnya Puteri Adrianna Cinta Megat Faizal, 19, Sayang yang merupakan lagu ciptaannya sendiri dikeluarkan dibawah naungan syarikat Sony Music Malaysia.

"Istimewanya tentang lagu ini, ia adalah kombinasi antara genre pop dan indie yang menjadi lagu cinta dan muziknya menyuntik mod seumpama membelai perasaan.

"Sejujurnya, lagu ini bukanlah dirancang dengan ketat, saya hanya cipta dengan mencurahkan apa yang bermain dalam minda, kemudian tidak lama selepas itu, siaplah bahagian permulaannya. Saya hanya ambil masa tiga ke empat jam sahaja untuk keseluruhan lirik.

"Kebanyakan lagu ciptaan saya hanya mengambil masa sehari sahaja untuk siap, namun jika termasuk proses 'mixing', lagu ini lengkap sepenuhnya dalam masa dua hari.

"Itulah antara yang boleh dikatakan sebagai kekuatan saya, menulis lagu dalam masa yang singkat dan jalan ceritanya bercampur sama ada dalam jalan cerita atau perasaan seseorang,” katanya.

Kepada yang baru mengenali Adrianna, gadis ini sering menyanyikan lagu-lagu cover dan berkongsi di akaun TikTok miliknya (@adriannacinta). Kebanyakan lagu cover nyanyian Adrianna mendapat sambutan hangat di platform berkenaan.

Antara yang terbaru adalah lagu Cinta Ini Membunuhku mendapat 3.7 juta tontonan dan Munajat Cinta dengan 3.5 juta tontonan.

Dalam pada itu, Adrianna yang juga pelajar dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Awam, berkongsi tentang penceritaan lagu Sayang yang menurutnya, tidak ada kaitan dengan kisah hidupnya sendiri.

Namun begitu, penyanyi yang terkenal di media sosial ini mempunyai kelebihan dalam mendalami maksud penceritaan yang terkandung dalam lirik coretannya.

"Lagu ini adalah sepenuhnya berdasarkan imaginasi saya, saya terbayangkan situasi itu dan terus menjadikannya sebuah lagu.

"Saya amat berharap lagu ini dapat menyentuh perasaan orang ramai yang mendengar lagu ini, semoga ia memberi kesan yang mendalam kepada mereka dan terus jatuh cinta dengan “Sayang”.

"Selain itu, saya juga amat berharap ia mendapat putaran di stesen-stesen radio tempatan dan diguna pakai secara meluas di pelbagai platform media sosial.

"Lagu Sayang ini adalah sangat istimewa untuk semua orang, saya dahulukan sokongan semua pihak dengan ucapan terima kasih. Untuk mereka yang ingin mengenali saya dengan lebih dekat, bolehlah ikuti saya di laman sosial media saya selalu kongsi perkembangan di platform berkenaan," katanya lagi.

Lagu Sayang boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.