Vokalis kumpulan Neon Band, Ezwan Ariff kini mengambil keputusan untuk bergerak solo selepas tiga tahun bersama kumpulan tersebut.

Menurut Ezwan, Menurut Ezwan, keputusan itu adalah perancangan daripada syarikat rakaman dan dipersetujui kedua-dua pihak yang turut membabitkan pengurusan Neon Band.

“Sebenarnya saya memang bercita cita nak jadi penyanyi, tidak kisah secara solo atau band, tapi rezeki datang dulu bersama band. Selepas tiga tahun dengan Neon Band, saya dapat peluang buat solo pula.

“Pengurusan pun okay dan tidak ada masalah dengan perkara ini, asalkan tidak menimbulkan konflik kerjaya bersama band. Malah kedua-dua pihak setuju dan okay, begitu juga dengan ahli kumpulan," katanya.

Seiring keputusan tersebut, Ezwan kini tampil dengan single solo pertamanya yang berjudul Misteri.

Pada masa yang sama, Ezwan juga menjelaskan dia masih bersama Neon Band meskipun tampil dengan projek solo.

“Tidak ada sebarang isu pun sebab saya bukannya keluar kumpulan, tapi ini sekadar projek solo. Malah, perancangan bergerak solo dibuat adalah untuk membantu menaikkan nama Neon Band juga, secara tak langsung orang akan lebih kenal band ini,” katanya.

Ditanya tentang jangka masa untuk bergerak solo, Ezwan berkata dia sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan single solo kedua selain menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusan dan syarikat rakaman.

“Saya tak letak jangka masa, secara peribadi, saya sudah ada perancangan sendiri. Insya Allah, selepas enam bulan saya nak lancar single kedua.

"Di antara tempoh itu Neon Band juga akan ada lagu baru, kiranya, memang kerjaya solo dan band akan bergerak seiring," tambahnya.

Berkongsi mengenai lagu Misteri yang bergenre Pop R&B, Ezwan berkata itu adalah arah tuju muzik yang sudah ditetapkan pihak syarikat buat dirinya.

“Apabila pihak pengurusan tawarkan projek solo, genre ini adalah ‘direction’ untuk bentuk kerjaya solo seiring dengan trend dengan muzik sekarang. Begitu juga apabila muzik ini mudah diterima pendengar, radio dan platform digital.

“Dari awal saya terbuka dengan cadangan pengurusan, lagi pun kebanyakan lagu dengan band bergenre ‘slow rock’. Jadi, nak nampak kelainan antara solo dan band, saya okay saja dengan muzik ini. Apabila mereka bagi dengar, lagu ini kena dengan jiwa. Palam masa sama sesuai dengan ‘tone’ suara dan penghayatan, jadi ia lebih mudah," katanya lagi.

Video muzik rasmi lagu Misteri juga sudah dilancarkan pada 25 Disember lalu di saluran YouTube Najah Music.

Terdahulu, Neon Band terkenal dengan lagu Cinta Yang Telah Mati, Hingga Akhir Nanti, Kaca dan Jiwa yang berjaya memperkenalkan nama mereka dalam arena muzik tanah air.