Keadaan pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan pada jantungnya baru-baru ini.

Hal ini dikongsikan sendiri oleh Naib Presiden Malaysia National Cycling Federation (MNCF), Datuk Amarjit Singh Gill menerusi rajutan ciapannya di Twitter.

Menerusi ciapan-ciapan tersebut, Amarjit turut mendedahkan kronologi yang membawa kepada pembedahan dan seterusnya keadaan terkini Azizulhasni.

“Datuk Azizulhasni Awang mengadu sakit dada ketika sesi latihan. Beliau kemudian dibawa untuk diperiksa dan selepas ujian dijalankan, beliau disahkan menghidap Anomalous Right Coronary Artery.

“Selepas konsultasi bersama pakar kardiologi terbaik di Melbourne dan Institut Jantung Negara (IJN) di Malaysia, beliau menjalani pembedahan ‘open heart’ dan pada 21 April dan pembedahan tersebut berjaya dilakukan.

“Usai pembedahan, beliau kini berada dalam keadaan baik dan sudah kembali ke Melbourne bagi proses pemulihan. Saya sudah bercakap dengan Datuk Azizulhasni dan beliau kini dalam semangat yang baik. Katanya, beliau menjangkakan untuk pulih dan kembali berlatih seperti biasa dalam 2 hingga tiga bulan akan datang,” katanya.

Menerusi ruangan balas, rata-rata netizen mendoakan agar Azizul kembali pulih seperti biasa.

Menerusi ciapan yang dikongsikan, seorang netizen menggalakan supaya Azizul berehat dan memberi fokus pada proses pemulihan.

“Semoga cepat pulih Datuk. Mendoakan kesembuhan yang cepat. Dapatkan rehat yang cukup dan fokus pada proses pemulihan,” katanya.

Terdahulu, menerusi laporan media tempatan, Azizul berkongsi yang dia mula berasa sakit di bahagian dada sejak menjalani latihan pada awal Februari lalu sebelum merujuk situasi berkenaan kepada pakar perunding jantung kardiologi di Melbourne iaitu doktor Barveen Aisha Abu Baker bagi menjalani pemeriksaan dan ujian yang lebih teliti.