VIRAL
Selisih Faham Di Jalan Raya, Polis Tahan Lelaki Pukul Pelajar
Polis menahan seorang lelaki warga tempatan pada Jumaat kerana bertindak memukul seorang pemandu yang merupakan pelajar sekolah akibat salah faham di jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pelajar berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul oleh seorang lelaki tidak dikenali di kawasan berhampiran Saujana Impian, di sini pada jam 2.15 petang hari yang sama.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham ketika memandu antara pengadu dan suspek.
"Dalam kejadian ini, pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan retak tulang hidung akibat dipukul.
"Siasatan juga mendapati pengadu tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bertindak atas maklumat, Naazron berkata, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penasihat agensi pelancongan pada Jumaat, jam 9.50 malam bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tambahnya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.
Jelasnya, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah semasa memandu dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Inspektor Chalart Cinda di talian 017-9825510 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video