BERITA
Seludup Ganja Di Laos: PDRM Siasat Kemungkinan Penyanyi Rap, Rakan Jadi Keldai Dadah
Polis menyiasat kemungkinan pembabitan sindiket dadah berhubung penangkapan tiga rakyat Malaysia bersama 86 kilogram (kg) ganja di Laos, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya juga menyiasati kemungkinan tiga individu terbabit bertindak sebagai keldai dadah.
Menurutnya, penahanan itu dibuat pada 27 Mei dengan rampasan 86 kg ganja semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaklumkan berhubung perkara itu pada 3 Jun oleh Kementerian Luar Negeri.
"Hasil pemeriksaan enam bagasi milik individu itu yang dirampas telah menjumpai 103 bungkusan plastik yang mengandungi dadah jenis ganja.
"Hasil siasatan mendapati dipercayai kesemua mereka akan menaiki penerbangan Thai Airways dari Laos untuk ke Jerman bagi tujuan menghantar bekalan dadah tersebut," katanya pada Jumaat.
Pada masa sama beliau turut mengesahkan seorang daripada tiga individu yang ditahan merupakan seorang penyanyi rap Malaysia.
Mengulas lanjut beliau berkata, semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati kesemua individu berkenaan keluar dari Malaysia pada 22 Mei lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, semakan dengan pihak berkuasa Thailand pula mendapati tiada sebarang pergerakan masuk atau keluar dari Thailand pada 22 Mei lalu membabitkan tiga individu terbabit.
Jelasnya, maklumat yang diperolehi daripada soal siasat kesemua tangkapan akan dihantar pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video