Sejak pengenalan Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ramai yang mula buka mata tentang penggunaan gajet seperti komputeri riba atau laptop, tablet pc dan telefon pintar.

Ibu bapa dilihat mula mempelajari selok belok spesifikasi sesuatu peranti itu.

Harga pula bukan seratus dua, jadi ia memerlukan sedikit kajian dengan teliti.

Malah, menerusi tinjauan dibuat sebuah akhbar tempatan baru-baru ini kebanyakan ibu bapa mahukan peralatan gajet ini di bawah harga RM1,500.

Persoalannya apakah pilihan terbaik untuk ibu bapa memilih peranti digunakan anak mereka?

Adakah tablet ataupun komputer riba mahupun Chromebook? Apa pula Chromebook itu?

Gempak cuba ringkaskan dengan mudah kelebihan dan kekurangan gajet ini.

#1 Laptop / Komputer Riba



Melihat saja perkataan pembelajaran atas talian atau online, pastinya ibu bapa akan melihat pengunaan laptop terlebih dahulu.

Bagi penulis, kelebihan pembelian laptop adalah pengunaan jangka masa panjang dan perisian lebih menyeluruh.

Jangka hayat sesebuah laptop bergantung pada pengunaannya, namun kebanyakannya ia akan bertahan agak lama.

Laptop memudahkan pelajar mendapatkan perisian secukupnya yang sepadan dengan sistem operasi windows seperti perisian Microsoft.

Sebut saja Adobe Photoshop, Microsoft Word, Excel, Powerpoint mahupun video editing. Semua boleh dikuasai dengan laptop.

Bagi penulis, jika anda membeli laptop untuk peringkat sekolah rendah atau menengah, ia mungkin boleh diguna pakai sehingga mereka masuk ke zaman universiti.

Kekurangannnya kebanyakan laptop harganya RM1,200 ke atas.

Untuk kebanyakan ibu bapa yang tidak mampu, pastinya ia satu bebanan ketika PKP.

#2 Tablet

Berkemungkinan ia antara gajet paling sesuai ketika ini khususnya buat mereka yang mempunyai anak agak ramai.

Dengan saiz yang mudah dibawa dan dipegang, ia amat sesuai digunakan secara bergilir-gilir.

Malah, kebanyakan tablet murah menggunakan sistem operasi Android dan tiada masalah untuk mendapatkan software sesuai untuk pembelajaran.

Aplikasi WhatsApp, Zoom, Teams, Google Docs, Gmail, semuanya boleh dimuat turun.

Tablet juga lebih fleksibel kerana ia juga boleh digunakan untuk aktiviti di luar pembelajaran.

Melukis contohnya, ibu bapa boleh menambah stylus untuk anak mereka melukis atau mewarna.

Kekurangan tablet adalah pada harganya juga, namun ia masih boleh didapati dengan harga bawah RM1,000.

Tablet juga tiada keyboard fizikal, namun ia boleh dibeli berasingan serendah RM20.

Penulis juga melakukan kerja harian menggunakan tablet dan keyboard murah yang dibeli secara atas talian.

Habis kerja, tablet digunakan untuk menonton video dan aktiviti lain. Sangat fleksibel!

Jangan tak tahu Ustaz Ebit Lew juga memilih untuk memberi bantuan tablet untuk pelajar kurang bernasib baik.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)

Amaran : Sesetengah tablet murah tidak mempunyai sistem Android yang sah. Tablet ini dipasang dengan aplikasi tertentu tanpa mempunyai medium playstore.

Jadi agak sukar untuk pengguna memasang aplikasi dikehendaki.

Oleh itu berhati-hati ketika memilih tablet murah.

#3 Chromebook

Chromebook adalah komputer riba yang menggunakan sistem operasi Chrome OS yang diasaskan oleh Google.

Chromebook bukan seperi Windows atau MacOS, sebaliknya ia banyak bergantung pada pelayar Google Chrome yang anda selalu pakai untuk browser internet.

Disebabkan itu aplikasi pada laptop tidak boleh dipasang pada Chromebook.

Walaubagaimanapun, kebanyakan aplikasi Android boleh dipasang di Chromebook.

Antara kelebihan Chromebook juga adalah bateri lebih tahan hingga sembilan jam.

Dari segi harga dipasaran, ia bergantung pada spesikfikasi Chromebook itu sendiri.

Ada juga peniaga yang menjual Chromebook ‘refurbished’ yang dijual serendah harga RM350.

Semak dulu jaminan dan review diberikan pelanggan sekiranya mahu memberi Chromebook refurbished.

Chromebook mungkin tidak digemari pelajar yang bergelumang dengan aplikasi Adobe Photoshop, video editing yang profesional dan sebagainya.

Namun jika sekadar membuat panggilan video, menaip dokumen, melakukan pembentangan dan banyak menggunakan aplikasi telefon pintar, maka Chromebook amatlah sesuai.

Akhir sekali tepuk dada tanya selera. Semuanya bergantung bajet anda dan keperluan anak.

Paling penting dalam membeli gajet ratusan ringgit ini adalah membuat kajian terlebih dahulu.

Jangan terpedaya dengan promosi, sebaliknya semak dahulu ulasan dan rating diberikan pelanggan lain.

Sehingga berjumpa lagi dalam topik gajet akan datang!