Hantaran terbaharu penceramah bebas, Ustaz Kazim Elias di akaun Facebook miliknya menarik perhatian netizen.

Ustaz Kazim atau Datuk Mohd Kazim Elias atau menasihati semua pihak supaya ‘menyayangi pahala’ masing-masing.

Malah dalam coretan itu juga, beliau memohon semoga segala kutukan, cercaan dan hinaan terhadapnya digantikan dengan pahala.

“Alhamdulillah. Semoga kutukan, cercaan, hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda,” tulisnya.

Beliau memuat naik kenyataan itu selepas menarik diri daripada bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Larut.

Terdahulu, pencalonan Ustaz Kazim diumumkan sendiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa.