Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menganjurkan sebuah konsert tribute khas buat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersempena sambutan ulang tahun ke-25 institusi pendidikan itu.

Konsert yang diberi nama Malam Kemala Irama 2.0 (MKI 2.0) itu bakal diadakan di Panggung Eksperimen ASWARA pada 20 dan 21 September akan datang.

Menariknya, konsert itu bakal menampilkan persembahan 12 graduan dan penuntut ASWARA yang sudah menempa nama dalam bidang seni menyampaikan rangkaian lagu tradisional popular Siti.

Konsert itu akan menampilkan persembahan Asmidar, Fitry Hiswady, Aruel Ariel, Hazra, Iqqa Ahmad serta ramai lagi alumni dan pelajar ASWARA.

Anak saudara Siti yang pernah menyertai Ceria Megastar Ministar, Ummi Umairah atau Umai juga diundang untuk memeriahkan MKI 2.0 kelak.

"Konsert tribute ini akan menhiasi halwa telinga pengunjung dengan pelbagai pilihan lagu tradisional yang pernah dipopularkan oleh Siti.

"Boleh dikatakan yang persembahan MKI 2.0 kali ini adalah bersifat penghargaan terhadap kesenian lagu tradisional dan akan disampaikan menerusi persembahan muzik serta nyanyian tradisional.

"Sebelum ini, di penganjuran pertama pada tahun 2017, kami mengangkat Noraniza Idris dengan mempersembahkan rangkaian lagu popularnya. MKI 2.0 kali ini merupakan satu penghargaan buat Siti selaku Ahli Lembaga Pengarah ASWARA," kata Juhara Ayub selaku Pengarah Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA.



Tambah Juhara, dia berharap agar MKI 2.0 dapat mempromosikan seni budaya tradisional selain menyemai rasa cintakan budaya terhadap mereka yang berkunjung kelak.

"Tarikh 20 dan 21 September ini dipilih bersesuaian dengan kemasukan pelajar baru ASWARA. Kami berharap konsert ini dapat memupuk minat mereka untuk memilih muzik atau vokal tradisional sebagai jurusan major.

"Kami berharap konsert ini dapat memartabatkan kesenian tradisional warisan tempatan ke mata dunia dan menyemai rasa cintakan budaya kita,” katanya.

Tiket MKI 2.0 akan dijual pada harga RM30 dan RM20 kepada awam manakala RM10 kepada penuntut ASWARA.

Untuk sebarang informasi lanjut atau pertanyaan, anda boleh hubungi nombor 03-27785999, 03-27786062 atau 03-27786065.