Siapa sangka, di sebalik kehebatan lakonan yang ditonjolkan oleh Enam Jahanam dalam Gemencheh Boys, pemilihan mereka untuk memegang tonggak utama dalam filem ini berlaku dalam keadaan yang sedikit berbeza daripada proses pemilihan pelakon lain.

Pengarah Gemencheh Boys, Jason Chong berkata, proses pemilihan bermula selepas satu perlawan persahabatan kriket yang melibatkan calon-calon pelakon dijalankan.

“Tiada siapa antara enam mereka merupakan pelakon. Mereka adalah pelajar sekolah yang bermain sukan kriket. Jadi, kami kumpulkan calon-calon daripada tiga buah yang telah disenarai pendekkan dan meminta mereka untuk menjalani perlawanan persahabatan.

“Dari situ kita lihat bagaimana mereka bermain, selain chemistry yang tercetus antara mereka. Maka, terpilihlah enam individu untuk melakonkan watak Syafiq, Rashid, Fauzi, Amin, Shukri dan Azad,” katanya.

Jason menambah, pelakon-pelakon cilik itu pada mulanya malu-malu. Namun, berkat tunjuk ajar guru lakonan Datuk Fauziah Nawi, mereka mula berani beraksi di hadapan kamera.

Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa.

Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.

Gemencheh Boys dengan tagline ‘no retreat, no surrender’ memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila guru disiplin mereka, Cikgu Azman memperkenalkan permainan kriket.

Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi.

Selain Jason, yang juga pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017, Gemencheh Boys turut mendapat sentuhan Eric Ong.

Filem ini membariskan pelakon Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tonggak utama.

Turut membintangi filem ini Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin dan Arumugam A/L Vedan.

Membabitkan kerjasama Astro Shaw dengan GV Corporate Advisory dan SOL Pictures, Gemencheh Boys bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober ini.

BACA: Ini Sebab Kenapa Cikgu Azman Sebak Ketika Menghadiri Tayangan Perdana Gemencheh Boys​

BACA: Demi Gemencheh Boys, Pekin Bergaul Dengan Orang Kampung Sebab Nak Mahirkan Loghat Negeri Sembilan