Berita

Senator Ras Adiba Cipta Sejarah, Jadi Pengerusi Baharu BERNAMA Wanita Pertama Selepas 53 Tahun

gempak
Maliah Surip
24/11/2020
14:15 MYT
Sponsor Banner
Senator Ras Adiba Cipta Sejarah, Jadi Pengerusi Baharu BERNAMA Wanita Pertama Selepas 53 Tahun
Kewibawaan Ras Adiba Radzi, 52, diiktiraf oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) apabila beliau diumumkan sebagai pengerusi baharu agensi tersebut.
Pelantikan personaliti TV veteran itu merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan berkenaan dalam sejarah 53 tahun agensi berita tersebut yang turut mengoperasikan stesen radio Bernama Radio dan saluran televisyen Bernama TV.
Selain itu Ras Adiba juga adalah senator, atlet para negara dan aktivis hak orang kurang upaya (OKU) yang pertama menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola BERNAMA.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan pelantikan beliau di sini hari ini.
Adiba mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Suhaimi Sulaiman yang melepaskan jawatan itu pada 6 Ogos lalu.
Ras Adiba kini terpaksa menggunakan kerusi roda akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya dalam nahas jalan raya di Petaling Jaya pada 11 Nov 1995.
Beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai senator pada 20 Mei tahun ini dan merupakan perwakilan komuniti OKU di Dewan Negara.
Ahli Dewan Negara itu memainkan peranan utama dalam memastikan siaran langsung persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara menampilkan jurubahasa isyarat bagi membolehkan mereka yang cacat pendengaran mengikuti prosiding Parlimen secara langsung.
Ras Adiba menerajui OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak OKU.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai penyampai berita di TV3 pada 1986, ketika berusia 18 tahun. Beliau kemudian menyertai NTV7 dan meninggalkan industri penyiaran selepas 34 tahun berkecimpung dalam bidang itu.
Pada 2003, beliau mencatat nama dalam Malaysia Book of Records atas kejayaan berkerusi roda sejauh 420 kilometer dalam tempoh 13 hari dari Johor Bahru ke Putrajaya.
Beliau juga dianugerahi Tokoh Srikandi Negara pada 2014. Ibu kepada dua anak itu turut aktif dalam kegiatan sukan termasuk mewakili negara ke Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura dan Sukan Para ASEAN 2018 dalam acara menembak 10m air rifle.
Sumber: BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live